Michelle Ng Mei Sze tengah) bergambar bersama kakitangan Rapid Bus Sdn Bhd selepas melancarkan perkhidmatan percubaan Bas Perantara Aliran Transit Ringan (LRT) laluan T792 di di Stesen USJ7, Subang Jaya pada 14 Oktober 2019. MUZAMMIL/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Rapid Bus sedia bas perantara LRT laluan T792 bermula esok

SUBANG JAYA, 14 OKT: Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) menyediakan perkhidmatan bas perantara Aliran Transit Ringan (LRT) laluan T792 sebagai projek percubaan selama tiga bulan yang bakal bermula esok.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhammad Yazurin Sallij berkata, tiga bas 12 meter yang digunakan bagi laluan itu menampilkan wajah baharu atau ‘bus wrapping’ supaya pengguna lebih mengenali perbezaan antara bas perantara LRT dan bas lain.

Katanya, penjenamaan semula bas berkenaan diilhamkan daripada kejayaan bas perantara Transit Aliran Massa (MRT) yang berjaya menarik perhatian penduduk di sekitar jajaran MRT.

“Laluan ini bermula dari hab stesen LRT USJ7 ke Pangsapuri SS19 melalui USJ3 dan USJ4 termasuk dua universiti utama iaitu Kolej INTI serta Kolej SEGi termasuk menyambung pengguna ke pusat komersial utama antaranya SS15, Taipan dan juga pusat beli-belah Summit.

“Masa perjalanan dianggarkan 45 minit dengan kekerapan setiap 20 minit (waktu puncak dan luar waktu puncak) meliputi jarak sejauh 10 kilometer (km),” katanya ketika ditemui pemberita pada pelancaran perkhidmatan percubaan bas perantara LRT laluan itu, di Stesen USJ7, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze dan Ketua Pegawai Operasi Rapid Bus, Ku Jamil Zakaria.

Yazurin berkata, pihaknya akan mengumpul dan menganalisis maklum balas serta data yang diperoleh sepanjang tempoh tiga bulan bagi projek eksperimen yang memfokuskan kepada konsep ‘first mile and last mile’ itu.

Katanya, melalui data berkenaan, pihaknya akan mengkaji pilihan yang sesuai untuk meningkatkan perkhidmatan bas perantara LRT, selain membantu menentukan konfigurasi ‘fleet’ bas pada masa akan datang.

“Ini termasuk kekerapan perkhidmatan bagi kawasan Subang Jaya dan Lembah Klang amnya memandangkan jumlah pengguna pengangkutan awam termasuk bas pengantar, Smart Selangor dan Bas Rapid Transit (BRT) adalah sekitar 25,000 sehari.

“Jadi, kita percaya penduduk di Subang Jaya sudah bersedia untuk menukar gaya hidup dengan membiasakan diri menaiki pengangkutan awam kerana ia dilihat lebih menyenangkan,” katanya.

Pada masa sama, katanya, pengguna disaran menggunakan Pas Perjalanan Tanpa Had RM50 atau RM100 untuk perjalanan yang lebih lancar selain menawarkan penjimatan dengan hanya satu mod pembayaran.

“Tambang bagi setiap perjalanan serendah RM1 bagi dewasa manakala tambang separuh harga (murid sekolah, Orang Kelainan Upaya atau warga emas berusia lebih 60 tahun dan kanak-kanak tujuh hingga 12 tahun) manakala perkhidmatan ini percuma bagi kanak-kanak bawah tujuh tahun,” katanya.

Untuk rekod, perkhidmatan Rapid KL bermula di Subang Jaya sejak 2014 dan sehingga kini merangkumi 11 laluan termasuk BRT Sunway serta Smart Selangor.

Pada September lalu, Rapid Bus turut memperkenalkan projek percubaan tiga bulan untuk penggunaan bas midi untuk Laluan T300 dan T304 di Ampang sebagai langkah memantapkan sambungan serta mobiliti di kawasan terbabit.


Pengarang :