Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Rasuah sempadan negara, pegawai polis dipindah

KUALA LUMPUR, 30 OKT: Pegawai dan anggota polis yang disyaki terlibat rasuah berkaitan penyeludupan rentas sempadan telah dipindahkan dan tidak dibenar bertugas semula ke Pasukan Gerakan Am, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut, beliau berkata, sementara proses tindakan diambil, mereka hanya dikekalkan di batalion masing-masing dan hanya menjalankan tugasan pejabat serta tugasan di dalam kem seperti biasa.

“Untuk tugasan di lapangan seperti di sempadan negara mereka tidak dibenarkan lagi dan ada antara mereka telah dijatuhi hukuman.

“Banyak kejayaan rampasan dan tangkapan telah dibuat sebelum ini, PGA yang diletakkan di bawah bidang kuasa Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani telah banyak menyumbang kepada meningkatkan kawalan keselamatan di sempadan,” katanya pada sidang akhbar operasi bersepadu khazanah di Bukit Aman, di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan tangkapan kegiatan penyeludupan rentas sempadan di kawasan Padang Besar, Perlis.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya mendedahkan terdapat ribuan klip rakaman video berkaitan aktiviti penyeludupan di kawasan sempadan negara akibat perbuatan rasuah sejak 2017.

Antara barang yang diseludup ialah minyak masak, bawang, baja, diesel, petrol dan barangan runcit yang murah di Malaysia berbanding negara jiran.

SPRM menyerahkan video mengenai aktiviti penyeludupan di sempadan Padang Besar itu kepada polis untuk tindakan lanjut.

– BERNAMA


Pengarang :