BUDAYARENCANA

Realisasikan dasar pengangkutan hijau demi kesihatan manusia

KUALA LUMPUR, 17 OKT: Isu pengangkutan di negara ini boleh dibahagi kepada dua iaitu kesesakan akibat bilangan kenderaan yang kian meningkat saban tahun dan penggunaan kenderaan yang tidak mesra alam.

Kekurangan penggunaan pengangkutan awam yang berpunca daripada beberapa faktor turut memburukkan lagi kesesakan terutamanya pada waktu puncak dan musim perayaan.

Tambahan peningkatan bilangan kenderaan yang tidak mesra alam (pengangkutan berasaskan bahan api fosil seperti petrol dan gas), pastinya mencetus pelbagai isu alam sekitar, antaranya pemanasan global, kualiti udara, implikasi kesihatan dan pencemaran Gas Rumah hijau (GHG).

Belanjawan 2020 yang dibentangkan Jumaat lalu turut memberi fokus ke arah meningkatkan pengangkutan hijau dengan rancangan menyediakan sehingga 500 bas elektrik pelbagai saiz dengan kos RM450 juta untuk pengangkutan awam di bandar terpilih seluruh negara.

Tentunya ini antara komitmen serius kerajaan bagi mewujudkan bandar bersih dan hijau ke arah kemakmuran bersama untuk seluruh 33 juta rakyat di negara ini.

Bagaimanapun, jumlah itu masih belum mencukupi bagi merealisasikan pengangkutan hijau dalam erti kata sebenar. Ia memerlukan langkah jangka pendek dan panjang yang akan membawa negara ke arah negara berteknologi hijau secara komprehensif.

Teknologi hijau dalam pengangkutan

Apabila kita bercakap mengenai teknologi hijau terutama yang berkaitan dengan pengangkutan, ia merujuk kepada semua jenis pengangkutan yang mesra alam yang tidak memberi kesan kepada alam sekitar.

Pada masa ini, lebih kurang 90 peratus pengangkutan di jalan raya adalah berasaskan penggunaan minyak seperti petrol atau gas asli dan pengangkutan darat adalah merupakan diantara penyumbang terbesar terhadap pembebasan gas rumah hijau.

Perkara ini dikongsi Prof Madya Dr Sawal Hamid Md Ali, Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Elektronik dan Sistem, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysiia (UKM).

Beliau mengulas perkara ini sehubungan Pelancaran Dasar Pengangkutan Negara (DPN) pada Khamis 17 Oktober.

Beliau menyatakan harapan agar elemen pengangkutan hijau mendapat keutamaan dalam dasar berkenaan,

Menjelaskan lebih lanjut mengenai pengangkutan hijau, ia melibatkan peralihan penggunaan kenderaan berasaskan bahan api fosil kepada penggunaan pengangkutan hijau yang mesra alam yang menggunakan tenaga diperbaharui (RE) seperti solar, biofuel, hidro dan angin perlu digerakkan secara lebih agresif.

Antara jenis dan sistem pengangkutan yang boleh dikategorikan sebagai pengangkutan hijau adalah basikal, basikal elektrik, kereta elektrik, kereta api hijau (berasaskan elektrik dan bateri/kapasitor ultra), perkongsian kenderaan, bas elektrik/hibrid dan berjalan kaki.

“Walaupun kenderaan elektrik seperti basikal elektrik dan kereta elektrik kadangkala tidak dikatakan kenderaan hijau kerana kenderaan itu perlu di cas dengan menggunakan electrik daripada grid, ia masih boleh dianggap pengangkutan hijau apabila sumber tenaga untuk cas kenderaan tersebut boleh diambil daripada sumber tenaga diperbaharui seperti solar dan hidro.

“Oleh itu, apabila inisiatif penggunaan kenderaan elektrik dilaksanakan, kerajaan juga perlu melihat kepada sumber tenaga elektrik sekiranya mahu penggunaan teknologi hijau dilaksanakan dengan sempurna kerana pada masa ini, sumber utama tenaga elektrik untuk Malaysia adalah arang batu,” katanya baru-baru ini.

Beliau berkata, usaha ini perlu dilakukan supaya penggunaan RE seperti solar dan hidro dapat dipertingkatkan sebagai sumber tenaga elektrik untuk merealisasikan teknologi hijau dalam erti kata sebenar.

Tingkatkan pengangkutan elektrik

Mengenai inisiatif hijau, kerajaan Malaysia sebenarnya sudah mengambil langkah yang aktif sejajar dengan komitmen yang diberikan negara sewaktu Persidangan Perubahan Iklim Negara-Negara Bersatu 2009.

Menurut Sawal, Malaysia meletakkan sasaran untuk mengurangkan pembebasan gas karbon dioksida sebanyak 40 peratus pada 2020 dan 45 peratus pada 2030.

Inisiatif ini diteruskan sehingga kini dan kerajaan melaksanakan pelbagai usaha ke arah sasaran tersebut seperti yang digariskan dalam Pelan Tindakan Mobiliti Elektrik 2015.

Antara sasaran pelan tersebut adalah mensasarkan bilangan pengangkutan elektrik pada tahun 2030 sebanyak 100,000 kereta elektrik, 100,000 motosikal elektrik, 2,000 bas elektrik dan 125,000 stesen cas.

“Bagaimanapun, pencapaian kepada angka ini masih jauh daripada sasaran. Sebagai contoh, sehingga September 2018, bilangan stesen cas hanyalah 400 stesen dengan perancangan sebanyak 3,000 stesen cas pada akhir 2018.

“Tidak dapat dipastikan sejauh mana sasaran ini dapat dicapai tetapi ia masih terlalu jauh berbanding dengan sasaran 125,000 stesen pada tahun 2020,” katanya.

Ini bermakna kerajaan perlu meningkatkan lagi kewujudan stesen cas dengan kadar yang lebih pantas sekiranya berhasrat untuk menepati sasaran pelan tersebut. Kewujudan stesen cas amat penting sebelum sasaran bilangan kenderaan berasaskan elektrik dapat dicapai.

Beri lebih banyak insentif

Jelas Sawal, dalam penggunaan teknologi hijau, Malaysia tidak ketinggalan kerana mempunyai pelbagai program yang dilaksanakan untuk menggalakkan dan meningkatkan penggunaan teknologi hijau.

Kerajan mempunyai beberapa program untuk menggalakkan penggunakan teknologi solar antaranya seperti Feed in Tariff (FiT) dan Net Energy Metering yang telah dilaksanakan untuk meningkatkan penggunaan solar.

Menurut beliau, langkah tersebut dapat menghasilkan sumber tenaga elektrik yang tidak terikat dengan penggunaan bahan api fosil.

Selain daripada itu, polisi yang dibuat untuk menggalakkan penggunaan kereta elektrik juga boleh dilihat sebagai satu usaha yang serius ke arah penggunaan teknologi hijau dalam pengangkutan.

Sebagai contoh, insentif potongan cukai telah dibuat untuk meningkat penggunaan kereta elektrik.

“Bagaimanapun, penggunaan kereta elektrik masih lagi tidak meningkat dengan pantas. Sebahagian faktor yang menghalang adalah harga kereta yang tinggi (walaupun dengan potongan cukai) dan kekurangan stesen cas yang boleh merencatkan penggunaan kereta elektrik.

“Menerusi projek kereta nasional ketiga yang memberi tumpuan kepada kereta elektrik atau hibrid, ini boleh membantu mengurangkan kos harga kereta mesra alam ini,” katanya, sambil menambah kerajaan perlu meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan teknologi hijau kepada alam persekitran dan kehidupan manusia amnya.

Tingkat kesedaran rakyat

Sawal menegaskan, sebahagian masyarakat masih tidak memahami kesan penggunaan pengangkutan yang tidak mesra alam dan bagaimana ia berkait dengan masalah yang boleh dihadapi oleh manusia sendiri.

Sebagai contoh, bagaimana penggunaan kenderaaan yang berasaskan bahan api fosil boleh meningkatkan pembebasan karbon dan seterusnya memberi kesan kepada pemanasan global.

“Sekiranya kesedaran dapat diberikan, ia mampu menggalakkan penggunakan pengangkutan teknologi hijau. Kedua, kerajaan perlu meningkatkan kemudahan pengangkutan awam yang mesra alam. Sebagai contoh penggunaan bas elektrik atau hibrid.

“Apabila sistem pengangkutan awam yang mesra alam ini dipertingkatkan dan diperluaskan, ditambah dengan kesedaran yang dipupuk, maka masyarakat akan cuba untuk menggunakan pengangkutan awam ini sebagai salah satu usaha ke arah penggunaan pengangkutan teknologi hijau.” katanya.

Langkah lain yang boleh dilakukan adalah dengan menyediakan persekitaran yang sesuai untuk pejalan kaki.

Berjalan kaki adalah salah satu pengangkutan teknologi hijau dan dapat pula membantu untuk memberi kesihatan yang baik.

Bagaimanapun, apa yang diperlukan ialah persekitaran pejalan kaki yang sesuai dan kondusif yang dapat membantu hasrat penggunaan teknologi hijau. Di samping itu, kerajaan juga boleh berusaha menyediakan kenderaan teknologi hijau yang mampu milik sama ada melalui potongan cukai ataupun dengan pembangunan kereta teknologi hijau keluarkan tempatan.

“Kos pemilikan yang rendah untuk kenderaan teknologi hijau dapat menggalakkan penggunaannya. Untuk langkah jangka panjang, kerajaan perlu berusaha ke arah pembangunan dan perancangan bandar yang berasakan bandar pintar dan lestari.

“Pembangunan bandar pintar dan lestari yang lengkap dengan pengangkutan perbatuan pertama dan terakhir, persekitaran yang amat selesa dan kondusif untuk pejalan kaki dan pembangunan bandar yang mudah diakses secara berjalan akan membawa negara ke arah negara berteknologi hijau secara komprehensif,” jelasnya.

Menurut Sawal, kos merupakan salah satu faktor yang menjadi isu utama dalam penggunaan teknologi hijau terutamanya menyentuh soal kereta berasaskan elektrik atau hibrid.

Beliau menjelaskan, pengangkutan teknologi hijau bukanlah semata-mata kereta elektrik.

“Pengangkutan hijau ini boleh juga dicapai dengan cara yang lebih murah seperti penggunaan pengangkutan awam yang mesra alam seperti bas elektrik, berjalan kaki dan penggunaan basikal elektrik.

“Ini menunjukkan bahawa masyarakat mempunyai alternatif yang lebih murah untuk menggunakan pengangkutan teknologi hijau sekiranya alternatif ini telah tersedia.

“Untuk merealisasikan penggunaan pengangkutan hijau, sistem pengangkutan hijau yang murah dan mampu milik perlu disediakan seperti pengangkutan awam yang mesra alam (bas elektrik, keretapi elektrik), laluan pejalan kaki yang kondusif dan kenderaan elektrik yang mampu milik seperti basikal dan motorsikal elektrik atau kereta nasional berasaskan elektrik dengan insentif potongan cukai,” tegasnya.

Artikel ini bersempena pelancaran Dasar Pengangkutan Negara (DPN) 2019-2030 pada 17 Oktober

– BERNAMA


Pengarang :