AGENDANASIONAL

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar

KUALA LUMPUR, 17 OKT: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pagi ini berikutan minat yang tercetus semula daripada para pelabur Amerika Syarikat (AS) selepas jualan runcit menunjukkan angka data negatif, kata seorang peniaga.

Pada 9 pagi, unit tempatan berada pada 4.1880/1920 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.1935/1965 pada Rabu.

Jabatan Perdagangan AS semalam, mengumumkan data runcit dan perkhidmatan makanannya yang turun sebanyak 0.3 peratus kepada US$525.6 bilion berbanding bulan sebelumnya, yang mana merupakan penurunan kali pertama dalam tempoh tujuh bulan.

Angka ini dicatatkan selepas dolar AS menerima rangsangan daripada kemajuan terkini rundingan perdagangan AS-China.

Bagaimanapun, berbanding kumpulan mata wang utama lain, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah kecuali yen, yang mana ia meningkat kepada 3.8525/8572 daripada 3.8575/8613.

Unit tempatan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0576/0607 daripada 3.0560/0585, susut berbanding pound Britain kepada 5.3728/3783 daripada 5.3513/3568 dan berkurangan kepada 4.6411/6460 daripada 4.6288/6338 berbanding euro.

– BERNAMA


Pengarang :