AGENDANASIONAL

Ringgit dibuka tinggi selepas pembentangan Belanjawan 2020

KUALA LUMPUR, 14 OKT: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS hari ini didorong permintaan belian yang meningkat terhadap unit tempatan, kata peniaga.

Pada 9 pagi, ringgit berada pada 4.1780/1810 berbanding dolar AS daripada 4.1840/1870 pada Jumaat lalu.

“Ringgit menerima rangsangan susulan pembentangan Belanjawan 2020 yang bukan hanya menyasarkan untuk mengukuhkan lagi ekonomi negara malah menangani isu yang dihadapi rakyat termasuk peluang pekerjaan, memastikan kesejahteraan wanita selain memberi lebih penekanan kepada pendidikan dan institusi keagamaan.

“Kami berharap pembentangan ini akan meningkatkan lagi tahap keyakinan dalam kalangan pelabur asing,” katanya.

Ringgit bagaimanapun didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding yen kepada 3.8589/8627 daripada 3.8691/8729 ketika ditutup pada Jumaat lalu dan tinggi berbanding euro kepada 4.6054/6104 daripada 4.6103 / 6153.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0459/0489 daripada 3.0438/0471 pada Jumaat lalu dan rendah berbanding pound British kepada 5.2618/2672 daripada 5.2292/2346.

-BERNAMA


Pengarang :