Gambar hiasan. Grafik Selangorkini
AGENDANASIONAL

Rizab antarabangsa Malaysia meningkat RM13.1 bilion

SHAH ALAM, 30 OKT: Jumlah rizab antarabangsa Malaysia meningkat kepada RM432.7 bilion sehingga 15 Oktober tahun ini berbanding RM419.6 bilion pada 2018.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata jumlah itu memadai untuk membiayai 7.6 bulan import tertangguh dan 1.1 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.

“Pada 2018, rizab antarabangsa Malaysia berjumlah RM419.6 bilion atau USD101.4 bilion adalah memadai untuk membiayai 7.4 bulan import tertangguh dan 1.0 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.

“Mengikut perangkaan terbaharu, pada 15 Oktober 2019 rizab antarabangsa Malaysia meningkat kepada RM432.7 bilion atau USD103.3 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yasin di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, jumlah hasil Kerajaan Persekutuan adalah RM232.9 bilion bagi tahun 2018.

Bagi perbelanjaan Kerajaan Persekutuan pula adalah RM287.1 bilion merangkumi perbelanjaan mengurus sebanyak RM231.0 bilion dan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM56.1 bilion.


Pengarang :