Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Azmin Ali bergambar bersama guru dan pelajar ketika Majlis Penyampaian Kelulusan Baik Pulih Prasarana Sekolah di SMK Telok Gadong, Klang pada 12 Oktober 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

RM1.8 juta bantu baik pulih 11 sekolah di Klang

KLANG, 12 OKT: Sejumlah RM1.8 juta diperuntukkan kepada 11 sekolah terpilih di Klang bagi kelulusan projek baik pulih prasarana di bawah Peruntukan Projek Kecil Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, hari ini.

Menterinya, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, antara projek baik pulih yang akan dilaksanakan adalah pemasangan pagar, pembinaan kantin, baik pulih kerosakan fizikal bangunan, pembinaan dataran berbumbung, menaik taraf makmal sains dan infrastruktur sekolah.

Katanya, kelulusan projek itu adalah berdasarkan permohonan bantuan daripada pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) terlibat.

“Selepas semakan dan penilaian dijalankan bersama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri berhubung permohonan terbabit, projek ini diluluskan oleh MEA memandangkan terdapat keperluan mendesak untuk dilaksanakan.

“Pada masa sama, saya optimis dengan sumbangan baik pulih ini akan mewujudkan suasana ruang yang lebih kondusif, selesa sekali gus dapat membantu warga pendidik dan pelajar untuk meningkatkan tahap kecemerlangan mereka.

“Pihak saya juga akan sentiasa memberikan sokongan bagi membangunkan sektor pendidikan di Malaysia ke arah yang lebih cemerlang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Kelulusan Projek Baik Pulih Prasarana Sekolah di SMK Telok Gadong, di sini, hari ini.

Turut hadir, EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari.

Dato’ Seri Azmin Ali, (tengah) bersama Dato’ Abdul Rashid Asari, (dua, kiri) menyerahkan replika cek kepada wakil sekolah ketika Majlis Penyampaian Kelulusan Baik Pulih Prasarana Sekolah di SMK Telok Gadong, Klang pada 12 Oktober 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Sekolah terpilih menerima bantuan berkenaan adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Gadong; SK Sungai Udang, Sekolah Agama Rakyat (KAFA Integrasi) Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang dan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Sin Bin dengan masing-masing menerima RM199,000.

Sekolah lain turut menerima sumbangan adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baru Sultan Suleiman (RM198,000) dan Sekolah Rendah Agama (KAFA Integrasi) Nurul Ain, Telok Gadong (RM197,000).

Manakala, SK Pelabuhan Utara, SMK Telok Gadong masing-masing menerima RM195,000, Sekolah Rendah Agama Kampung Delek (RM139,000), Sekolah Menengah (SM) Pulau Ketam (RM76,000) dan SM Raja Uda (RM10,000).


Pengarang :