Timbalan Presiden Pakatan Harapan Mohamad Sabu. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

RM150 juta baik pulih 6,000 rumah keluarga tentera

SHAH ALAM, 23 OKT: Kementerian Pertahanan memperuntukkan kira-kira RM150 juta bagi membaik pulih 6,000 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT), menjelang 2020.

Menterinya, Mohamad Sabu berkata ia bagi memastikan RKAT sedia ada dapat didiami dengan selesa oleh anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Katanya, fokus kepada penyelenggaraan dan pemulihan RKAT juga jelas diperlukan berdasarkan penemuan Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1.

“Pelbagai jenis kelemahan dalam perancangan pengurusan penyelenggaraan RKAT ekoran kegagalan pentadbiran terdahulu untuk mematuhi peraturan sehingga menyebabkan banyak unit rosak serta terbiar.

“Daripada 54,497 unit RKAT, didapati bahawa 12,261 unit tidak selamat untuk diduduki kerana terlalu uzur akibat kecuaian pentadbiran sebelum ini yang tidak peka terhadap keperluan sebenar ATM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Sabu berkata, kediaman RKAT lebih selesa akan meningkatkan semangat anggota ATM yang banyak berkorban ketika menyertai operasi sepanjang tahun.

“Maka anggota ATM tidak perlu bimbangkan keadaan keluarga mereka ketika bertugas.

“Keselesaan dan keamanan yang dinikmati oleh rakyat hanya tercapai melalui titik peluh dan darah anggota ATM. Oleh itu, sewajarnya anggota ATM dan keluarga mereka turut dapat menikmati keselesaan ini.

“Kementerian Pertahanan sentiasa bersedia untuk memastikan setiap anggota ATM yang berkeluarga menduduki unit RKAT yang terbaik,” katanya.


Pengarang :