Lim Guan Eng. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

RM5.1 bilion disedia bayar hutang 1MDB, SRC untuk 2019, 2020

PUTRAJAYA, 22 OKT: Sebanyak RM5.1 bilion diperuntukkan untuk melunaskan hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC) bagi tahun ini (2019) dan 2020, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, sejumlah RM2.7 bilion disediakan untuk 2020 bagi melunaskan bayaran khidmat hutang 1MDB dan SRC, dan sebanyak RM2.4 bilion bagi tahun 2019.

“Kerajaan tetap komited untuk membayar semua obligasi pinjaman yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Lim, hutang dan liabiliti 1MDB, termasuk faedah, pada masa ini berjumlah kira-kira RM51 bilion, termasuk RM8.93 bilion yang telah dibayar oleh Kementerian Kewangan dan syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

Pada 18 Okt lepas (2019), 1MDB telah membuat pembayaran faedah sebanyak AS$50,312,500 bagi pelunasan bayaran faedah bon terbitan 1MDB Energy (Langat) Ltd (1MELL), katanya.

“Bayaran tersebut dibuat menggunakan dana pemulihan aset 1MDB yang berjaya dikembalikan sebanyak kira-kira RM1.45 bilion setakat ini,” kata Lim.

Bon 1MELL bernilai AS$1.75 bilion itu diterbitkan pada 19 Oktober 2012 dan akan matang pada 18 Oktober 2022.

Lim berkata, untuk tahun ini, dua lagi bayaran perlu dibuat oleh 1MDB.

Ia melibatkan bayaran faedah bon 1MDB Energy Ltd (1MEL) sebanyak AS$52.4 juta (kira-kira RM219.2 juta) yang akan dibayar pada 11 November 2019, dan bayaran faedah sukuk Islamic Medium Term Note (IMTN) sebanyak RM143.75 juta yang akan dibayar pada 29 November 2019, katanya.

– BERNAMA


Pengarang :