AGENDANASIONAL

RON97 naik tujuh sen, RON95 dan diesel kekal

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Harga runcit petrol RON97 naik tujuh sen kepada RM2.67 seliter, manakala RON95 dan diesel masing-masing kekal pada RM2.08 dan RM2.18 seliter, berkuat kuasa tengah malam ini hingga 18 Oktober.

Kementerian Kewangan melalui kenyataan hari ini memaklumkan berdasarkan pengiraan mengikut formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit petrol RON95 dan diesel bagi tempoh itu masing-masing sepatutnya RM2.37 dan RM2.27, seliter.

“Ini menunjukkan kenaikan dari minggu lepas bagi harga runcit produk petrol RON95 yang berada pada paras RM2.30 seliter, manakala penurunan bagi harga runcit bagi produk diesel yang berada pada paras RM2.34 seliter.

“Namun, harga runcit bagi kedua-dua produk dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras keputusan kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut, dengan pengekalan harga runcit bagi kedua-dua produk berkenaan, anggaran subsidi yang perlu ditanggung kerajaan dalam tempoh 12 hingga 18 Oktober ini adalah RM112.64 juta.

-BERNAMA


Pengarang :