Taman Negara Johor di Pulau Kukup salah satu lokasi yang menarik kemasukan pelancong.
PENDAPAT RENCANA

Saksi Gerhana Matahari Cincin di Tanjung Piai hujung tahun ini

PONTIAN, 14 OKT: Dikenali sebagai Penghujung Benua Asia, sudah pasti tarikan utama ke kawasan Tanjung Piai adalah taman rekreasi dan pelancongan, ditambah dengan kekayaan budaya dan warisan termasuk masyarakat Bugis.

Antara kawasan utama yang menjadi “magnet” pengunjung dalam dan luar negara pastinya Taman Negara Johor Tanjung Piai dan Taman Negara Johor Pulau Kukup, yang mana keduanya disenaraikan sebagai tapak Ramsar (Konvensyen Tanah Lembap Berkepentingan Antarabangsa), yang berkepentingan bagi konservasi burung air dan tanah lembap.

Taman Negara Johor Pulau Kukup merupakan sebuah pulau bakau yang tidak didiami dengan kawasan seluas 647 hektar, manakala Taman Negara Johor Tanjung Piai yang terletak di selatan Pulau Kukup, mempunyai pantai pesisir hutan bakau dan dataran lumpur.

Pengarah Perbadanan Taman Negara Johor, Hanis Musalman Salehan berkata, tarikan ke Taman Negara Tanjung Piai misalnya, spesies pokok-pokok bakau yang tiada di tempat lain.

“Taman Negara Johor Tanjung Piai ini menjadi tarikan pengunjung dalam dan luar negara disebabkan faktor geografi dan flora serta faunanya yang tidak ada di tempat lain, contohnya burung hijrah yang datang dari India, negara-negara lain,” kata beliau ketika ditemui di taman negara itu, baru-baru ini.

Jadi, tidak hairanlah jika kedua-dua taman negara itu turut menjadi tumpuan penyelidik-penyelidik luar, kerana kekayaan biodiversitinya.

Pada tahun lepas, pengunjung ke Taman Negara Johor Tanjung Piai mencapai 97,431 orang.

“Untuk tahun ini, sehingga Ogos, kita sudah catat pengunjung seramai 62,283 orang. Kita akan ada satu acara besar, iaitu melihat ‘Gerhana Matahari Cincin’ dan ‘Air Pasang Besar’ pada penghujung Disember nanti, yang kita jangka akan tarik lebih ramai pengunjung lagi,” kata Hanis.

Sementara itu, kawasan Tanjung Piai juga menjadi salah satu pintu masuk ke negara ini melalui jalan laut dari Tanjung Balai, Indonesia, iaitu menerusi Terminal Feri Antarabangsa Kukup.

Kebiasaannya, ia sesak dengan warga Indonesia, terutama bila menjelang Aidilfitri dan selepas musim berkenaan.

Bagaimanapun, terminal itu ditutup buat sementara waktu sejak 1 September lepas dan dijangka beroperasi kembali pada 1 November ini.

Pekan Kukup yang menempatkan terminal itu, turut menjadi tumpuan pelbagai perniagaan daripada kecil sehingga besar, dan menjadi nadi kepada sebilangan masyarakat di situ.

Kira-kira 10 minit dari pekan itu, tersergam indah Rumah Daeng Haddadek, yang menjadi simbolik kepada kepelbagaian warisan masyarakat Bugis di Johor, terutama di daerah Pontian.

Gambar-gambar lama sejarah salasilah keluarga Daeng Haddadek turut dipamerkan di rumah berkenaan, selain pelbagai perabot antik yang diwarisi turun-temurun.

Pengunjung juga boleh mengenakan pelbagai busana masyarakat Bugis di situ, sekali gus membolehkan mereka merakam kenangan tersendiri, ketika berkunjung ke rumah warisan itu.

Selain pelancongan dan warisan, masyarakat Tanjung Piai juga menjalankan aktiviti pertanian dengan menanam kelapa sawit, nanas serta tanaman kontan, manakala ada juga yang menjadi nelayan.

Dianggarkan terdapat lebih 300 nelayan di sekitar Tanjung Piai setakat ini.

Tidak hairanlah Pasar Awam Pontian agak terkenal dengan bekalan ikan segar dari laut, sehingga menarik pelawat dari Singapura semata-mata mahu mendapatkan bekalan ikan yang disifatkan berkualiti tinggi, pada harga yang berpatutan.

Mengambil kira semua faktor penarik itu, maka kawasan Tanjung Piai mempunyai identitinya tersendiri dan berpotensi untuk terus dibangunkan pada masa hadapan.

– BERNAMA


Pengarang :