AGENDANASIONAL

“Sekarang semua orang boleh ‘bantai’ kerajaan”

SHAH ALAM, 5 OKT: Ruang untuk rakyat bersuara pada era kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) semakin terbuka luas tanpa sekatan seperti dilalui pada pentadbiran Barisan Nasional.

Naib Ketua AMK Pusat, Jestin Raj Savarimuthu berkata, keadaan itu membolehkan anak muda lebih berani menyatakan pendapat mereka termasuk ‘membantai’ kerajaan.

“Kerajaan hari ini mendengar suara anak muda sehinggakan semua orang boleh ‘bantai’ kerajaan tanpa rasa takut.

“Era pentadbiran Pakatan adalah peluang terbaik untuk anak muda lebih ke hadapan dan berpolitik yang tidak dirasai pada masa lalu,” katanya pada program ‘Wacana Malaysia Baru: Adakah Kerajaan Pakatan Harapan Peduli Belia?’ di Rumah Pemuda di sini, malam tadi.

Jestin berkata, golongan muda juga perlu mengambil peluang untuk membabitkan diri dalam politik atau persatuan supaya boleh menyuarakan pendapat masing-masing.

Ahli Majlis Tertinggi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Kebangsaan, Tassim Zainal pula berkata, karenah birokrasi juga semakin berkurangan pada era pentadbiran PAKATAN.

Beliau juga memuji langkah kerajaan mengurangkan had umur mengundi kepada 18 tahun, sekali gus mendorong golongan muda celik politik.

“Sudah lebih setahun kerajaan PAKATAN mentadbir negara dan pandangan anak muda tidak pernah berubah iaitu mahukan tadbir urus yang baik.

“Kita dah penat dengan pentadbiran lama yang tidak cekap, bobrok dan lain-lain untuk mengurus ekonomi negara,” katanya.


Pengarang :