Ng Suee Lim ketika ditemu bual khas bersama Media Selangor di Pejabat Speaker DNS di Bangunan Annex, Shah Alam pada 21 Oktober 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Selangor bangga usaha kerajaan negeri jadi ikutan

SHAH ALAM, 21 OKT: Langkah memperkenalkan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT) sejak 10 tahun lalu telah menjadi perintis kepada Melaka untuk menubuhkan MELCAT.

Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Ng Suee Lim berkata, MELCAT akan mula bersidang buat pertama kali 24 Oktober ini berkaitan isu pencemaran Sungai Melaka.

“Hasil lawatan mereka ke Selangor dan berkongsi pengalaman, Melaka akhirnya menubuhkan sendiri MELCAT yang akan memulakan pendengaran pertama 24 Oktober ini.

“Saya juga akan melawat ke sana untuk melihat lebih dekat perjalanan persidangan pertama MELCAT,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam wawancara khas bersama Media Selangor di Pejabat Speaker DNS di Bangunan Annex, hari ini.

Katanya, Kerajaan Negeri gembira apabila usaha yang dimulakan Selangor sentiasa menjadi perhatian dan menjadi contoh kepada pentadbiran negeri lain.

Beliau berkata, beberapa model program bantuan rakyat yang dahulunya diperkenalkan Selangor seperti Skim Peduli Sihat sudah mula dipertimbangkan dan dilaksanakan di peringkat Persekutuan.

Bercerita lanjut mengenai Belanjawan Selangor 2020 yang bakal dibentangkan 1 November ini, Suee Lim berkata, rakyat pastinya menantikan pengumuman penting untuk manfaat mereka di samping terus memacu perkembangan ekonomi negara.

“Saya yakin dan percaya Selangor akan terus cemerlang penjadi penggerak ekonomi utama buat negara dari segi pencapaian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) seperti tahun lalu sebanyak 23.7 peratus.

“Banyak suntikan-suntikan dan berita baik dalam konteks menggerakkan ekonomi pasti akan diumumkan,” katanya.

Di samping itu, beliau turut menasihatkan Ahli Dewan Negeri (ADN) supaya dapat menggunakan sesi persidangan sebaik mungkin untuk berbahas dengan penuh berdisiplin selain menjaga kemuliaan Dewan Negeri Selangor (DNS) sepanjang persidangan yang dijangka berlangsung selama dua minggu.

Suee Lim berkata, sesi persidangan kali ini turut memperlihatkan peningkatan jumlah soalan lisan dan bertulis daripada ADN sebanyak 517 soalan.

“Saya ingin menasihatkan semua ahli DNS, kita perlu sentiasa bertanggungjawab, berdisiplin dalam soal tingkah laku ketika berbahas, pakaian dan sebagainya.

“Sebelum ini, saya tegur dalam soal pakaian. Sekarang kita ketatkan (peraturan) dalam soal pemakaian dan seragamkan berwarna gelap. Ini bukan soal latar belakang atau parti tetapi soal disiplin dan imej serta kemuliaan DNS harus dipertahankan.

“Saya mengalu-alukan perubahan berkualiti, lebih bernas dan menjurus kepada pembangunan Selangor tanpa melakukan serangan peribadi atau fitnah,” katanya.


Pengarang :