BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Selangor di landasan terbaik capai negeri pintar 2025

RAWANG, 19 OKT: Kerajaan Negeri melalui program Jelajah 360 Smart Selangor dilihat berada pada landasan terbaik untuk mencapai matlamat negeri pintar pada 2025.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata sepanjang kempen tahun ini, program itu berjaya menarik lebih 30,000 pengunjung bagi mengenali lebih lanjut inisiatif Kerajaan Negeri.

“Kami memperkenalkan pelbagai inisiatif seperti aplikasi bas Smart Selangor, WiFi Smart Selangor dan Citizen E-Payment (CEPat) untuk pembayaran tempat letak kereta, cukai dan zakat supaya rakyat dapat merasai manfaat sebuah negeri pintar.

“Rawang adalah destinasi terakhir tahun ini dan sambutan dilihat cukup menggalakkan, membuktikan bahawa rakyat sentiasa bersama Kerajaan Negeri untuk bergerak selangkah demi selangkah bagi mencapai visi Smart Selangor pada 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Jelajah Smart Selangor 2019 di sini, hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Negeri Kuang, Sallehudin Amiruddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar, Raja Shahreen Raja Othman.

Loy Sian juga berharap pembangunan Smart Selangor akan terus mendapat kerjasama semua pihak dalam usaha ke arah negeri pintar terulung di Asia Tenggara menjelang 2025.

-BERNAMA


Pengarang :