AGENDA SUKANKINI

Selangor kalah tipis, peluang terbuka di separuh akhir kedua

JOHOR BAHRU, 20 OKT: Selangor boleh menarik nafas lega apabila hanya tewas tipis di tangan Johor Darul Takzim (JDT) di gelanggang keramat Harimau Selatan malam tadi.

Keputusan 1-2 itu juga wajar disambut positif berikutan kejayaan membawa bekalan satu gol di tempat lawan bagi menghadapi saingan kedua Piala Malaysia di Stadium Shah Alam 26 Oktober nanti.

Sebelum itu, perlawanan saingan separuh akhir pertama menyaksikan JDT lebih banyak mendominasi permainan.

Bagaimanapun, disiplin tinggi pertahanan Selangor berjaya menyerap asakan JDT.

JDT yang turun tanpa kelibat penyerang sensasi mereka, Diogo Luis Santo membuka jaringan pada minit ke-14 menerusi Syafiq Ahmad.

Bagaimanapun, kegembiraan penyokong tuan rumah tidak kekal lama apabila hanya berselang dua minit Omosuyi Ifedayo meledak gol penyamaan buat Gergasi Merah.

Kedudukan terikat 1-1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bermula separuh masa kedua, JDT tidak menunggu lama apabila Leandro Velazquez meletakkan JDT kembali di hadapan dengan 2-1.

Selangor hampir memalukan JDT namun Ifedayo dan Khyril Muhymeen Zambri gagal memanfaatkan peluang terhidang apabila percubaan masing-masing hanya singgah ke tiang gol.

Keputusan 2-1 memihak JDT kekal sehingga tamat perlawanan.

Kejayaan kesebelasan gergasi merah mengekang JDT berpesta jaringan boleh dianggap sebagai kemenangan moral buat anak buah B Sathianathan.


Pengarang :