AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor kekal penyumbang KDNK terbesar, pertumbuhan atasi nasional

KUALA LUMPUR, 13 OKT: Selangor kekal dengan jolokan ‘negeri emas’ negara apabila sekali lagi diiktiraf sebagai penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi peringkat nasional 2018 dengan 23.7 peratus.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, sumbangan KDNK itu terus menunjukkan trend peningkatan berbanding KDNK 2017 yang mencatatkan 23 peratus.

“Selangor turut mencatatkan pertumbuhan 6.8 peratus iaitu kekal melebihi paras nasional 4.7 peratus.

“Maka, tidak salah lagi kalau saya katakan bahawa Selangor adalah gedung kuasa ekonomi negara dan nadi utama pembangunan ekonomi negara,” katanya.

Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Kerajaan Negeri Selangor, Adakan Holdings Sdn Bhd dan Shaz Innovation Solutions ketika Majlis Penutup Expo Penyelidikan, Pembangunan Dan Inovasi Negeri Selangor di MITEC, Kuala Lumpur pada 13 Oktober 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutup Ekspo Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi 2019 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia di sini, hari ini.

Amirudin berkata, penyelidikan secara menyeluruh dan pendekatan berinovatif dalam bidang baharu mampu memberi nilai tambah dengan impak yang ketara dalam perkembangan ekonomi serta pembangunan Selangor.

Katanya, melalui penyelidikan, bidang bioteknologi telah dikenalpasti sebagai satu industri berpotensi memberikan pulangan tinggi kepada ekonomi negeri dan wajar diberikan tumpuan lebih mendalam.

Amirudin berkata, statistik mendapati terdapat 94 syarikat berstatus Bio Nexus beroperasi di Selangor telah menyumbang sejumlah RM1.19 bilion kepada ekonomi negeri.


Pengarang :