EXCOSELANGOR

Selangor komited bantu JMB perkasa perumahan strata

SUBANG JAYA, 5 OKT: Kerajaan Negeri komited membantu Badan Pengurusan Bersama (JMB) di kawasan perumahan berstrata melalui Sistem Laporan Kewangan Pangsapuri Selangor.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, sistem itu akan memudahkan hal berkaitan penyediaan akaun kewangan masing-masing melalui perisian yang akan dibekalkan kepada mereka nanti.

Katanya, inisiatif itu masih dalam fasa ‘fine tune’ dan beberapa perkara yang perlu diberikan perincian sebelum pelaksanaannya akan dimulakan sepenuhnya hujung tahun ini.

“Melalui sistem itu, JMB hanya perlu mengisi maklumat perbelanjaan dan pendapatan kewangan mereka di dalam perisian yang ditetapkan bagi setiap urusan dijalankan.

“Pada masa sama, sistem laporan berpusat ini turut dapat disemak Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dan Pesuruhjaya Bangunan (COB) bagi memantau keadaan pengurusan kewangan JMB masing-masing.

“Hal ini sekali gus dapat membantu kerajaan mengenal pasti jenis masalah dihadapi dan bantuan yang lebih sesuai kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melalui video pada Majlis Pelancaran Buku “HBA Insight Into Strata Management Legislations” di Taylor’s University Lakeside Campus, di sini, hari ini.

Pada masa sama, katanya, Kerajaan Negeri turut membantu JMB yang tidak berupaya memulakan tugas untuk menguruskan bangunan secara sendiri melalui program ‘Smart Maintenance’.

Haniza berkata, melalui program itu Kerajaan Negeri akan melantik ejen pengurusan bagi menguruskan pangsapuri berkenaan selama enam bulan.

“Dalam tempoh itu, pihak ejen pengurusan turut bertindak sebagai mentor kepada JMB pangsapuri berkenaan untuk melatih mereka menguruskan bangunan kediaman nanti.

“Justeru, seusai tamat kontrak enam bulan, pihak JMB yang dilatih akan mengambil alih tugas bagi menguruskan pangsapuri mereka sendiri secara sepenuhnya,” katanya.

Kerajaan Negeri komited memberdayakan pemilik dan komuniti yang menetap di kawasan perumahan berstrata melalui pelbagai inisiatif bagi memastikan mereka dapat hidup dengan kondusif dan harmoni.

Kawasan perumahan berstrata bagi kategori pangsapuri kos sederhana dan rendah mempunyai pelbagai masalah meliputi pengurusan bangunan, lif tidak berfungsi, isu keselamatan, kebersihan kawasan dan bil tertunggak.


Pengarang :