Gimik perasmian oleh Hee Loy Sian sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2019 peringkat Negeri Selangor di Plaza Alam Sentral Shah Alam pada 19 Oktober 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Selangor sedia atasi lambakan e-waste kesan 5G

SHAH ALAM, 19 OKT: Selangor bersedia menghadapi lambakan sampah elektronik atau e-waste kesan kedatangan 5G dalam teknologi komunikasi.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian berkata, antara langkah diambil termasuk berkerjasama dengan pihak swasta yang berminat menjalankan program kitar semula bahan terbabit.

“Mulai tahun depan kita akan hadapi masalah dengan kedatangan 5G yang menyebabkan banyak peralatan elektronik terbuang kerana tidak dapat menampung 5G.

“Peralatan yang menggunakan sistem 4G ini terpaksa dibuang dan setakat ini ada banyak kilang kitar semula yang datang bertemu kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Media Selangor pada program Sambutan Alam Sekitar Peringkat Negeri Selangor di Plaza Alam Sentral di sini, hari ini.

Loy Sian berkata, syarikat terbabit akan mendapat keuntungan melalui logam termasuk emas yang diperolehi daripada sampah elektronik ini.

Bagaimanapun katanya, satu kajian mendalam membabitkan kesan terhadap alam sekitar akan dijalankan terlebih dahulu.

“Ini satu industri yang besar tetapi kita akan mengkaji dahulu kesan kepada alam sekitar seperti pencemaran udara, sungai dan sebagainya,” katanya.


Pengarang :