EXCO SELANGOR

Selangor sedia bantu kementerian menyelaras pembangunan sukan

SHAH ALAM, 16 OKT: Kerajaan Negeri berharap Selangor memperolehi sebahagian besar manfaat daripada peruntukan bagi sektor belia dan sukan seperti diumumkan dalam Belanjawan 2020 lalu.

EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, Kerajaan Negeri juga sedia berkerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan untuk menyelaras pembangunan dirancang Kerajaan Pusat di Selangor.

“Kerajaan Negeri Selangor sambut baik belanjawan Kerajaan Pusat bagi tujuan pembangunan sukan kerana ini merupakan penanda aras keprihatinan Kerajaan Pusat terhadap pembangunan sukan tanah air.

“Kerajaan Negeri berharap sebahagian besar peruntukan belanjawan sukan akan turun ke Negeri Selangor dan Kerajaan Negeri bersedia bersama-sama menyelaras dalam pembangunan sukan di Selangor,” katanya kepada SelangorKini.

Mohd Khairuddin juga yakin peruntukan RM299 juta untuk menaik taraf kemudahan sukan termasuk Kompleks Belia dan Sukan serta Kompleks Sukan Komuniti mampu meningkatkan penglibatan golongan muda dalam sukan sama ada secara aktif mahupun untuk beriadah.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan peruntukan sejumlah RM553 juta bagi sektor sukan.

Peruntukan itu membabitkan RM299 juta untuk menaik taraf kemudahan sukan termasuk Kompleks Belia dan Sukan serta Kompleks Sukan Komuniti.

Peruntukan lain membabitkan RM179 juta untuk persiapan saingan antarabangsa seperti Sukan Olimpik, Sukan Paralimpik 2020 dan Sukan SEA 2021.

Manakala sejumlah RM45 juta diperuntukan untuk program pembangunan bola sepak, RM10 juta untuk pembangunan atlet wanita dan RM20 juta lagi untuk e-sukan.


Pengarang :