Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Kerajaan Negeri Selangor, Adakan Holdings Sdn Bhd dan Shaz Innovation Solutions ketika Majlis Penutup Expo Penyelidikan, Pembangunan Dan Inovasi Negeri Selangor di MITEC, Kuala Lumpur pada 13 Oktober 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor sudah buktikan keupayaannya lonjak ekonomi

KUALA LUMPUR, 13 OKT: Selangor sudah membuktikan keupayaannya mengurus ekonomi apabila berjaya mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan dalam tempoh sedekad di bawah pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan, kata Dato’ Menteri Besar.

Amirudin Shari berkata, ia adalah pencapaian membanggakan disaat Kerajaan Negeri dipinggirkan Kerajaan Persekutuan ketika itu.

“Selangor berjaya mencatatkan jumlah pelaburan RM18.95 bilion pada 2018 iaitu jumlah yang tertinggi pernah dicatatkan dalam sejarah negeri ini, dengan peningkatan sebanyak 238 peratus berbanding pelaburan RM5.59 bilion pada 2017.

“Ketika itu Selangor banyak bergerak sendirian kerana bantuan yang datang daripada Kerajaan Persekutuan dahulu (2008-2018) merupakan bantuan yang dilaksanakan secara senyap-senyap,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutup Ekspo Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi 2019 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia di sini, hari ini.

Amirudin berkata, antara kunci kejayaan cemerlang Selangor adalah peranan dan usaha gigih dimainkan oleh penjawat awamnya.

Katanya, berbanding di era Malaysia Baharu, beliau percaya kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan mampu menjana pertumbuhan ekonomi lebih baik, sekali gus menjana pendapatan tinggi untuk rakyat dan negeri.

Amirudin percaya senario hari ini mampu meningkatkan lagi keupayaan ekonomi dan membuka pelbagai peluang baharu untuk meningkatkan potensi ekonomi negeri.

Katanya, bioteknologi adalah salah satu bidang yang dikenalpasti sebagai industri berpotensi memberikan pulangan tinggi.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menyampaikan replika cek kepada Johan pertandingan penyelidikan dan pembangunan 2019, Faizal Abd Rahman dari Agensi Nuklear, pada 13 Oktober 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sementara itu, pada majlis sama, Faizal Abd Rahman dari Agensi Nuklear Malaysia menerima hadiah geran penyelidikan bernilai RM50,000 selepas memenangi pertandingan kategori Pertandingan Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi Selangor 2019.

AIM Force dari Majlis Daerah Sabak Bernam pula memenangi geran penyelidikan bernilai RM15,000 selepas memenangi kategori Inovasi Penyampaian Perkhidmatan.


Pengarang :