AGENSISELANGOR

Sembilan daerah Selangor berisiko dilanda banjir kilat

SHAH ALAM, 15 OKT: Sembilan daerah Selangor diramal berisiko dilanda banjir kilat ekoran kadar taburan hujan yang direkodkan agak tinggi sehingga akhir tahun ini.

Antara daerah yang berisiko ialah Petaling, Klang, Hulu Langat, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat, Hulu Selangor, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Unit Pengurusan Bencana Selangor (SSCC) dalam kenyataan berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan purata hujan di Selangor bagi bulan Oktober adalah antara 240 hingga 360 milimeter (mm), November (250-370mm) dan Disember (200-300mm).

Katanya, jangkaan hujan yang berterusan tinggi ini akan menyebabkan kejadian banjir atau banjir kilat.

“Oleh itu Kerajaan Selangor menasihatkan penduduk di kawasan yang dikenal pasti berisiko untuk
mengambil langkah-langkah persediaan dan mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

“Kerajaan Negeri juga telah mengarahkan tindakan persediaan kepada semua Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, Pihak Berkuasa Keselamatan dan Pihak Berkuasa Tempatan untuk melaksanakan persediaan awal sekiranya berlaku banjir kilat, banjir, tanah runtuh, ribut, dan lain-lain kesan akibat bencana alam,” katanya.

Pada masa sama, SSCC turut menyenaraikan beberapa kawasan yang dijangka turut terjejas akibat hujan lebat seperti Stesen Komuter Batu 3, IOI Business Centre, Lebuh Raya Besraya, Tol Sungai Rasau, Sekolah Kebangsaan Tengku Rahimah dan Kampung Sungai Tua.

Kawasan lain, Jalan B27 Jusco-Rawang, Pekan Asahan, Jalan Persekutuan Kuala Selangor, Jalan Persiaran Puncak Alam, Kampung Sungai Merab dan Padang Jawa.


Pengarang :