AGENDANASIONAL

Sembilan strategi dikenal pasti hadapi status negara tua 2030

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Kerajaan mengenal pasti sembilan bidang fokus strategik untuk menyediakan negara menghadapi status negara tua menjelang 2030, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar.

Beliau berkata, sebanyak 19 inisiatif digariskan untuk mencapai matlamat berkenaan berdasarkan hasil dapatan kajian Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA) pada 2018.

“Antara fokus strategik yang dikenal pasti adalah mengalakkan minat dan kemampuan bekerja, meningkatkan kebolehpasaran serta menggalakkan nilai kesukarelawan warga emas.

“Ketika ini, kerajaan dalam usaha merangka perlaksanaan dapatan kajian dengan kerjasama kementerian-kementerian lain,” katanya semasa menjawab soalan tambahan Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) mengenai usaha kerajaan dalam menghadapi cabaran status negara tua, pada sesi jawab lisan persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Unjuran data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan Malaysia akan mencapai status negara tua menjelang 2030 apabila penduduk berumur 60 tahun dan ke atas mencapai 15 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk.

– BERNAMA


Pengarang :