AGENDANASIONAL

Senarai 80 individu belum muktamad, fokus jumlah besar

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Senarai 80 individu dan entiti yang dikenakan kompaun berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dikeluarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Isnin lepas, adalah bagi mereka yang dipercayai menerima dana berjumlah RM500,000 ke atas.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, senarai itu belum muktamad.

“Pendekatan SPRM adalah untuk memberi keutamaan kepada jumlah yang lebih besar. Kriterianya adalah jumlah wang terlibat dan bukan perkara lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Latheefa mengulas mengenai dakwaan kononnya SPRM menggugurkan nama Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin daripada senarai 80 individu dan entiti yang dikenakan kompaun berkaitan kes 1MDB, baru-baru ini.

“Suruhanjaya ini akan mengambil tindakan secara rapi dan teratur serta terus mengambil langkah mendapatkan balik wang 1MDB yang merupakan milik rakyat secara berperingkat tanpa memihak kepada sesiapa,” katanya.

Isnin lepas, Latheefa pada sidang akhbar berkata, SPRM akan mengeluarkan notis kompaun terhadap 80 individu dan entiti yang dipercayai menerima dana daripada 1MDB.

Notis itu dikeluarkan mengikut Seksyen 92(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).

– BERNAMA


Pengarang :