Gambar kemalangan melibatkan rakyat Malaysia di Turki. Foto Facebook/ NOREEN KARTEL
AGENDANASIONAL

Seorang maut, 10 rakyat Malaysia cedera dalam kemalangan di Turki

KUALA LUMPUR, 17 OKT: Seorang rakyat Malaysia maut, manakala 10 lagi cedera setelah bas yang mereka naiki ketika mengikuti satu rombongan terlibat dengan kemalangan di Afyonkarahisar, Turki, petang semalam.

Wisma Putra yang dihubungi Bernama mengesahkan kemalangan bas yang dinaiki oleh 35 rakyat Malaysia itu berlaku ketika rombongan berkenaan dalam perjalanan dari Pamukkale ke Cappodokya.

“Kemalangan berlaku di Afyonkarahisar menyebab seorang maut manakala 10 orang lagi cedera termasuk empat daripada mereka dikatakan mengalami kecederaan serius.

Mangsa kemalangan sedang dirawat di Hospital Afyonkarahisar yang terletak kira-kira 300 km daripada Ankara. Malawakil (Pejabat Perwakilan Malaysia) Ankara sedang mengumpul maklumat lanjut daripada pihak berkuasa tempatan berhubung perkara ini,” katanya ketika dihubungi.

Pegawai daripada Malawakil Ankara dilaporkan akan melakukan lawatan konsular secepat mungkin untuk memberikan bantuan sewajarnya.

Wisma Putra dijangka mengeluarkan kenyataan penuh mengenai insiden itu hari ini.

Sementara itu Bahagian Komunikasi Korporat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dalam kenyataan malam tadi mengesahkan bas yang terlibat dengan kemalangan itu membawa rombongan 35 kakitangannya yang sedang melancong ke negara berkenaan.

Perbadanan itu menerima menerima laporan berhubung kemalangan berkenaan daripada Kedutaan Malaysia di Turki.

“PKNS masih menantikan kenyataan rasmi daripada pihak Kedutaan Malaysia di Turki yang sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak berkuasa tempatan dan hospital di Afyonkarahisar.

Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” kata kenyataan itu.

-BERNAMA


Pengarang :