AGENDA NASIONAL

Sertai KEADILAN bukan untuk lonjak kedudukan

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Pemimpin yang baru menyertai KEADILAN perlu berlandaskan semangat reformasi yang diperjuangkan parti itu, kata Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Timbalan Presiden KEADILAN itu berkata, penyertaan ahli baharu bukan untuk mengambil kesempatan melonjakkan kedudukan seseorang dan meraih keuntungan daripada kejayaan dikecapi selepas berjuang lebih 20 tahun.

“Saya berharap mana-mana individu yang hendak sertai KEADILAN dan Pakatan Harapan (PAKATAN) harus menerima prinsip serta idealisme perjuagan yang termaktub dalam Perlembagaan PAKATAN,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian kepada media pada Persidangan Perniagaan Asean Selangor sempena Perhimpunan Perniagaan Antarabangsa Selangor ketiga di Pusat Perdagangan Antarabangsa & Pameran Malaysia di sini, hari ini.

Katanya, KEADILAN sentiasa bersikap terbuka terhadap mana-mana pihak yang menyertai parti itu.

Sebelum ini, beberapa pemimpin Barisan Nasional dikaitkan akan menyertai KEADILAN antaranya bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak.


Pengarang :