Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)
PBTSELANGOR

Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan kembali, saji pelbagai acara menarik

SHAH ALAM, 8 OKT: Program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan kembali sempena Sambutan Hari Bandar Raya Shah Alam Ke-19 dengan pelbagai pengisian dan acara menarik menanti pengunjung pada 13 Oktober ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, program yang dijadual berlangsung di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14 itu bertujuan mempromosikan gaya hidup sihat dan mengurangkan penggunaan kenderaan penyebab pelepasan gas karbon monoksida.

Katanya, penganjurannya juga selaras dengan hala tuju MBSA menjadikan Shah Alam sebagai bandar raya rendah karbon menjelang 2030.

“Pelbagai aktiviti menarik buat orang ramai yang hadir antaranya aktiviti riadah seperti ‘fun walk’, acara berbasikal, ‘Ultra Colour Run’, dan ‘Recycle Treasure Hunt’.

“Selain itu, orang ramai juga berpeluang menyertai aktiviti seperti acara senamrobik, wall climbing, Futsal 3 on 3, Klinik Frisbee, Hydrogel Games dan cabutan bertuah.

“MBSA turut menawarkan kelainan selain aktiviti riadah seperti Program ‘Eco Free Market’ iaitu penyaluran dan edaran semula barangan terpakai secara percuma,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, bertemakan ‘kitar semula’ membolehkan pengunjung membuat pertukaran barang kitar semula seperti botol air, botol kaca, tin aluminium dan surat khabar lama untuk mendapatkan kupon bagi mendapatkan barang-barang yang ditawarkan oleh penyumbang di Eco Free Market.

Selain itu, turut akan diadakan Program Picnic Dhuha, pemeriksaan kesihatan percuma, dan penyediaan perkhidmatan MBSA kepada orang ramai seperti Pengoperasian Pejabat Bergerak Shah Alam On Wheels, Perpustakaan Bergerak (Mobile Library)dan jualan pokok serta baja kompos.

Pada masa sama, Shahrin berkata, MBSA turut mengharapkan kerjasama orang ramai dan pemilik-pemilik bangunan sekitar pusat bandar mengambil maklum mengenai jalan-jalan yang akan ditutup sepanjang program berkenaan.

“Jalan terlibat adalah Persiaran Bandaraya (Dataran Kemerdekaan), Persiaran Perbandaran, Persiaran Tasik, Persiaran Masjid, Persiaran Dato’ Menteri dan Persiaran Damai mulai jam 06.30 pagi sehingga 09.30 pagi,” katanya.


Pengarang :