Menteri Pengangkutan, Anthony Loke. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Siap sedia terima pelancong sempena TMM 2020

SEREMBAN, 19 OKT: Persediaan rapi daripada semua pemain industri dalam sektor pengangkutan perlu dilakukan bermula sekarang, menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020) yang dijangka menarik ramai pelancong ke negara ini, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Katanya, persiapan itu termasuklah, daripada perkhidmatan di lapangan terbang, bas persiaran, perkhidmatan e-hailing dan juga teksi.

“Persiapan untuk TMM 2020 telah lama diadakan dan memang Kementerian Pengangkutan merupakan kementerian sokongan kepada TMM 2020, kerana kita menjangkakan lebih ramai orang datang ke negara kita. Sudah tentu pintu masuk yang paling penting ialah lapangan terbang, Jadi lapangan terbang perlu bersiap sedia… syarikat-syarikat penerbangan perlu bersiap sedia.

“Kita punya bas persiaran, pengangkutan awam, teksi dan e-hailing semua ada tempiasnya. Semua perlu bersiap sedia menerima lebih ramai pengunjung dan ini merupakan satu peluang untuk mereka tambah pendapatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kerjaya dan Pendidikan (Sektor Pengangkutan) 2019, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Sembilan J. Arul Kumar.

Loke berkata, kerajaan membelanjakan sejumlah wang yang besar mempromosikan TMM 2020, bagi memberi impak yang positif, bukan sahaja kepada negara, bahkan rakyat keseluruhannya.

Selain TMM 2020, beliau berkata, tahun hadapan juga merupakan tahun yang penting buat kerajaan khususnya dan kementerian amnya, dengan terdapat pelbagai acara bertaraf antarabangsa dianjurkan di negara ini.

“Ini termasuklah persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada hujung tahun hadapan dan Kementerian Pengangkutan pula akan menganjurkan Persidangan dan Pameran Pengangkutan. Persidangan pengangkutan itu kita nak tunjukkan bahawa apakah perkembangan dan pencapaian pengangkutan negara kita.

“Yang lebih penting kita juga nak tarik lebih banyak pempamer untuk pamerkan teknologi yang ada, teknologi moden dan masa hadapan, supaya kita dapat dedahkan kepada rakyat kita apakah perkembangan teknologi pada hari ini.” katanya.

Loke berkata, persidangan pengangkutan itu juga dijangka membincangkan hala tuju sektor pengangkutan, selain menjemput pakar-pakar memberikan pandangan berhubung sektor berkenaan.

“Yang paling penting, kerajaan dan kementerian mesti bersiap sedia untuk masa depan. Yang pertama menyediakan infrastruktur, kedua menyediakan kerangka undang-undang untuk pengangkutan masa depan. Ada syarikat-syarikat yang sedang membina kenderaan elektrik dan kenderaan tanpa pemandu.

“Kita dalam kementerian kena melihat kepada kerangka undang-undang, sebab mungkin teknologi itu sudah ada, dan saya tak hairan pada hari ini ada kenderaan tanpa pemandu, tetapi kalau ia ada di atas jalan raya, bagaimana kita nak merangka undang-undang kita. Kalau dia langgar, apakah undang-undang yang kawal kenderaan itu. Itu yang memerlukan banyak perbincangan dan pemikiran,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :