AGENSIEXCOSELANGOR

Skim mikrokredit ditambah baik, berdaya ibu tunggal

SHAH ALAM, 27 OKT: Kerajaan Negeri akan menjalankan kajian lanjut berhubung tahap dan indeks keberkesanan Program Mikrokredit terhadap pemberdayaan ibu tunggal di Selangor.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita Dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, pendekatan itu diambil sebagai penyelesaian kepada kekurangan program berkenaan.

“Inisiatif program mikrokredit dalam membasmi kemiskinan adalah amat dikenali dunia selepas diasaskan Prof Muhammad Yunus menerusi model Bank Grameen bagi mengatasi masalah kemiskinan.

“Banyak cadangan dan saranan untuk ditambahbaik melalui program terbabit, malahan kita bersetuju bahawa ini bukanlah kajian pertama dan kita akan memanjangkan kajian berhubung keperluan ibu tunggal.

“Kita juga akan mencari jalan untuk menyelesaikan masalah mereka secara komprehensif dalam mengeluarkan mereka daripada kemiskinan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Pembentangan Hasil Penyelidikan dan Perbincangan Meja Bulat Program Mikrokredit, di Bilik Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), di sini, pada Jumaat lalu.

Pembentangan di bawah kelolaan Institut Wanita Berdaya (IWB) bersama Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) itu turut
disertai Ketua Pegawai Eksekutif IWB, Siti Kamariah Ahmad Subki dan Pengerusi IWB merangkap Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli.

Terdahulu, hasil dapatan utama melalui kajian itu menunjukkan majoriti ibu tunggal iaitu kira-kira 69.9 peratus yang mempunyai bilangan isi rumah satu hingga empat orang berjaya meningkatkan purata pendapatan mereka sebanyak 19 peratus selepas menyertai skim terbabit.

Malah, majoriti ibu tunggal menunjukkan kesedaran tinggi untuk memberi pendidikan kepada anak-anak seawal enam tahun.

Mengulas lanjut, Siti Mariah berkata, Kerajaan Negeri memperkenalkan skim mikrokredit Hijrah Selangor pada 2010 di bawah Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang antara lain bertujuan meningkatkan dan memperkasa ekonomi golongan pertengahan.

Katanya, hampir 70 peratus penerima skim berkenaan terdiri daripada golongan wanita dan ibu tunggal.

“Justeru, kita akan jalankan perbincangan lanjutan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan lain yang selama ini melaksanakan skim mikrokredit untuk tujuan sama.

“Kita perlu mengumpul data serta maklumat yang ada dan dari situ kita akan merangka langkah seterusnya. Jadi, saya bercadang untuk mengadakan satu program ‘townhall’ bersama ibu tunggal dalam masa terdekat,” katanya.

Dalam pada itu, Siti Mariah yang juga ADN Seri Serdang berkata, pihaknya juga akan menubuhkan sistem ‘mentoring’ dan program jaringan bagi peminjam mikrokredit, khususnya golongan ibu tunggal.

“Sistem ini sangat diperlukan memandangkan pemberian dana sahaja tidak cukup untuk mengeluarkan mereka daripada kemiskinan dan kita perlu memperluaskan lagi pembabitan Kerajaan Negeri dalam membantu ibu tunggal ini.

“Selain itu, kita akan meningkatkan siri latihan pembinaan kepimpinan wanita dan kemahiran komprehensif termasuk memperkasa sistem pengurusan serta pangkalan data secara lebih efisien dan capaian yang mudah,” katanya.


Pengarang :