Amirudin Shari menyempurnakan gimik perasmian sempena Majlis Makan Malam Amal Jubli Perak SMK Sungai Kertas di Menara Yayasan Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
ADN AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL SELANGOR

SMK Sungai Kertas terima RM50,000 naik taraf kemudahan sekolah

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari bersetuju menyumbangkan RM50,000 kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Kertas bagi membina struktur berbumbung di dataran tapak perhimpunan sekolah terbabit.

Katanya, sumbangan itu diyakini dapat memantapkan lagi bidang pendidikan dan kokurikulum sekolah berkenaan, sekali gus mengharumkan nama mereka ke persada dunia.

“Walaupun di DUN Sungai Tua tiada sekolah hebat seperti sekolah berasrama penuh, sekolah kluster dan berprestasi tinggi, namun sekolah biasa inilah yang banyak berjasa memandaikan anak bangsa.

“Malah, saya difahamkan sekolah ini juga pernah mengharumkan nama Selangor dan Malaysia amnya apabila mereka berjaya membawa nama sehingga ke persada antarabangsa seperti Korea, Poland dan Eropah.

“Syabas diucapkan dan semoga pencapaian ini dikekalkan serta usaha berterusan dari semasa ke semasa,” katanya yang juga Ahli Dewan Negeri di kawasan itu.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Amal Sambutan Jubli Perak Ulang Tahun ke-25 SMK Sungai Kertas di Dewan Besar Tun Rahah, Menara Yayasan Tun Razak, di sini malam tadi.

Amirudin turut berbangga kerana selepas 25 tahun, sekolah itu dapat menghimpunkan bekas pelajar, guru dan ibu bapa untuk meraikan ulang tahun.

Katanya, insiatif itu sekali gus dapat mengeratkan dan mengekalkan hubungan baik antara guru, pelajar dan bekas pelajar.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah angkasawan negara, Dato’ Dr Sheikh Muszaphar Shukor yang turut berkongsi pengalaman berada di angkasa lepas melalui beberapa tayangan video.


Pengarang :