Tan Sri Muhyiddin Yassin (dua, kanan) pada Majlis Sambutan Hari Pendaftaran Negara 2019 di Ibu Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara di Putrajaya pada 16 Oktober 2019. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

SOSMA perlu untuk kekang aktiviti keganasan

PUTRAJAYA, 16 OKT: Malaysia masih memerlukan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) kerana undang-undang sedia ada tidak memadai bagi mengekang aktiviti keganasan dalam dan luar negara.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dengan ketiadaan akta sebegitu, mereka yang terbabit dalam aktiviti keganasan boleh terlepas daripada cengkaman undang-undang sehingga boleh menimbulkan bahaya kepada keselamatan negara.

“Cara mereka (yang terbabit dengan kumpulan pengganas) bertindak ini di luar batas undang-undang dan boleh menimbulkan banyak masalah kepada negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis sambutan Hari Pendaftaran Negara 2019 di ibu pejabat Jabatan Pendaftaran Negara, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pandangan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, semalam, bahawa akta tersebut tidak perlu dimansuhkan dan sebaliknya hanya perlu dipinda dan ditambah baik.

SOSMA membenarkan penahanan sehingga 28 hari tanpa perbicaraan bagi tujuan penyiasatan.

Menurut Muhyiddin, manifesto Pakatan Harapan (PH) tidak pernah mengatakan SOSMA akan dimansuhkan tetapi berjanji untuk meneliti fasal yang boleh diperbaiki seperti akses kepada khidmat guaman dan tempoh reman.

Beliau berkata, langkah untuk meneliti akta tersebut telah bermula tahun ini dengan kerajaan telah mengadakan perbincangan dengan pemegang taruh termasuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bagi mendapatkan maklum balas tentang perkara yang perlu dipinda.

Beliau berkata, cadangan pindaan Akta SOSMA juga pernah dibawa ke peringkat Kabinet sebelum ini namun Kabinet berpendapat masih terdapat beberapa perkara yang perlu diperhalusi.

Menurutnya, proses perbincangan dengan pelbagai badan akan diteruskan sebelum cadangan pindaan akta itu kemungkinan dapat dibentangkan di Parlimen, tahun depan.

Ditanya mengenai kes Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka di Malaysia, ketika itu, Ibrahim Saib Ansar, cedera diserang sekumpulan lelaki disyaki ada kaitan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), tiga tahun lalu, yang sebelum ini dianggap sebagai satu kes terpencil namun kini dikaitkan dengan LTTE, Muhyiddin berkata, senario sudah berubah.

“Ada elemen keganasan dan tidak boleh kata terpencil. Polis sudah pantau untuk tempoh yang panjang dan bukti-bukti ada,” katanya.

Pada 4 September 2016, Ibrahim diserang sekumpulan lelaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas beliau menghantar Menteri Industri Utama Sri Lanka, Daya Gamage, di KLIA.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Nur Jazlan Mohamed, pada 7 September 2016 dilaporkan menyifatkan serangan itu sebagai isu terpencil.

Menurut Muhyiddin, sejak kes tersebut berlaku, ia diteliti sepanjang masa berdasarkan sumber risikan dan siasatan berterusan oleh Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Sebab itu kita berpendapat sudah cukup banyak bukti dan ia disahkan oleh timbalan pendakwa raya yang mengatakan ada asas yang kukuh untuk tindakan undang-undang diambil terhadap mereka yang dikatakan sabit dengan kes LTTE atau keganasan ini,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :