AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sukar tetapkan tarikh untuk peralihan kepimpinan – Dr Mahathir

PUTRAJAYA, 3 OKT: Sukar untuk meletakkan tarikh yang tetap bagi membolehkan peralihan kepimpinan negara, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kita kena kaji keadaan. Dalam angka, tarikh yang spesifik…jika kerja separuh selesai atau belum selesai, susahlah,” katanya ketika ditanya jika ada tarikh tetap untuk melaksanakan peralihan kuasa supaya rakyat tidak terlalu bimbang berhubung perkara ini.

Pada sesi dialog anjuran Majlis Hubungan Luar di New York minggu lalu, Dr Mahathir dilaporkan berkata akan melepaskan jawatan perdana menteri sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Saya janji akan berundur sebelum PRU akan datang dan memberi laluan kepada calon lain. Jadi, saya mungkin ada lagi tiga tahun paling lama,” katanya seperti dilaporkan pada sesi dialog itu.

Mengikut perjanjian Pakatan Harapan (PAKATAN) sebelum PRU14, Dr Mahathir akan dilantik sebagai perdana menteri dan kemudian menyerahkan teraju kepimpinan negara kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim namun tiada tempoh masa khusus dinyatakan.

Berhubung desakan untuk menyegerakan peralihan kuasa perdana menteri, Dr Mahathir berkata ia tidak pernah dibincangkan.

Dilaporkan bekas Timbalan Presiden KEADILAN, Syed Husin Ali mendesak peralihan kuasa disegerakan dan mendakwa hasrat Dr Mahathir untuk berundur sekurang-kurangnya tiga tahun lagi akan membunuh PAKATAN kerana Anwar tidak mempunyai masa mencukupi untuk berkempen dan mengatur sebarang rancangan.

-BERNAMA


Pengarang :