Ahli Pertubuhan Girl2Leader Malaysia bergambar bersama Zuraida Kamaruddin sempena Hari Kanak-Kanak Perempuan Sedunia 2019 anjuran Girl2Leader Malaysia dan Voice of the Children di Hotel Berjaya Times Square pada 19 Oktober 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Sukarelawan remaja boleh dapat tajaan geran Girl2Leader Malaysia

KUALA LUMPUR, 20 OKT: Remaja perempuan yang berminat mendekati masyarakat melalui kerja komuniti kini berpeluang menerima tajaan geran daripada Girl2Leader Malaysia.

Presidennya, Nurainie Haziqah Shafii berkata, program ‘VolunteerToLead’ itu adalah inisiatif untuk melatih kelompok wanita muda memimpin projek sukarela membabitkan masyarakat.

“Oleh itu, mana-mana remaja perempuan berusia 16 hingga 25 tahun dialu-alukan untuk mengambil bahagian, sekali gus berpeluang memberi sesuatu yang bermakna kepada masyarakat melalui cara kreatif.

“Mereka yang berminat boleh mengikuti laman media sosial kami untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Hari Kanak-Kanak Perempuan Sedunia 2019 anjuran Girl2Leader Malaysia dan Voice of the Children di Hotel Berjaya Times Square, semalam.

Pada acara sama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin turut menandatangani geran berjumlah RM5,000 khas buat Program ‘VolunteerToLead’ yang dijangka bermula pada 2020.

Nurainie berkata, ‘VolunteerToLead’ adalah inisiatif ketiga Girl2Leader Malaysia selepas menjalankan Program ‘SpeakToLead’ dan ‘LearnToLead’.

“SpeakToLead adalah program khas untuk wanita muda membina keyakinan diri melalui ucapan awam serta melibatkan pemimpin terkemuka.

“Antara yang pernah terlibat ialah Dato’ Menteri Besar Amirudin Shari, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Latheefa Koya, Tan Sri Rafidah Aziz dan Marina Mahathir,” katanya.


Pengarang :