Foto Instagram Selangor Royal Official
SELANGOR

Sultan Selangor berkenan terima menghadap Ketua Pengarah APMM

SHAH ALAM, 7 OKT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima menghadap Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Madya Maritim Dato’ Mohd Zubil Mat Som.

Pejabat Istana Selangor melalui kenyataan berkata, pertemuan pada 1 Oktober itu berlangsung di Istana Bukit Kayangan, di sini.

“Mohd Zubil dilantik sebagai Ketua Pengarah Maritim Malaysia yang baharu berkuat kuasa 19 Ogos 2019 lalu,” kata kenyataan itu.

Mohd Zubil, 56, yang memulakan perkhidmatan bersama agensi itu sejak 2006 dilantik menggantikan Laksamana Maritim Datuk Seri Zulkifili Abu Bakar yang bersara wajib pada 5 Ogos lalu.

Sepanjang perkhidmatannya, Mohd Zubil memegang pelbagai jawatan dalam sektor operasi, logistik dan pengurusan sebelum ke jawatan terakhir selaku Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) yang disandangnya sejak Oktober 2018.

Beliau juga pernah menjawat jawatan Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan antara Mac 2016 hingga Oktober 2018 dan terbabit secara langsung dalam merancang serta mengatur operasi dan penempatan aset Maritim Malaysia di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) bagi menjaga keselamatan perairan Sabah Timur.

Beliau juga Komander Operasi bagi Ops Naga iaitu operasi khas menangani isu pencerobohan bot nelayan Vietnam di perairan negara.


Pengarang :