Sultan Sharafuddin menabur bunga di Makam Al-Marhum Sultan Ismail Petra di Makam D’Raja Langgar, Kelantan. Foto ihsan Pejabat Istana Selangor
AGENSISELANGOR

Sultan Selangor ziarah makam Sultan Ismail Petra di Kelantan

SHAH ALAM, 16 OKT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat ke Kota Bharu, Kelantan bagi menziarahi Makam Al-Marhum Sultan Ismail Petra di Makam D’Raja Langgar.

Baginda bersama DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa disambut Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Faiz Petra dan isteri, Cik Puan Sofie Louise Johansson.

“Sejurus tiba di Makam D’Raja Langgar, baginda disambut oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V. Bacaan tahlil dan doa kemudian dipimpin oleh mufti kelantan.

“Baginda seterusnya berangkat pula ke Istana Mahkota bagi menziarahi Yang Maha Mulia Raja Perempuan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid,” kata kenyataan Pejabat Istana Selangor.

Pada 28 September lalu, Sultan Ismail Petra mangkat di Wad Diraja Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII).

Sultan Ismail Petra memerintah Kelantan dari 30 Mac 1980 sehingga Mei 2009.

Baginda kemudian digantikan putera sulungnya, Sultan Muhammad V, akibat gering.


Pengarang :