AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Taklimat Skim Air Darul Ehsan hingga 31 Disember

SHAH ALAM, 2 OKT: Penduduk di negeri ini berpeluang mendengar secara langsung taklimat pelaksanaan Skim Air Darul Ehsan daripada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) sehingga akhir Disember, tahun ini.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan & Komunikasi Air Selangor, Abdul Raof Ahmad berkata, program itu bagi membolehkan orang awam mengetahui skim berkenaan dengan lebih lanjut, selain berpeluang menyertai sesi soal jawab jika terdapat kemusykilan.

Katanya, sesi jelajah taklimat itu akan dilaksanakan di seluruh negeri dan akan dimaklumkan melalui pusat khidmat masyarakat, badan pengurusan bersama (JMB), persatuan penduduk, pejabat daerah dan tanah serta ketua kampung masing-masing.

“Justeru, kami amat menggalakkan orang ramai untuk turut bersama menyertai sesi taklimat ini dan pada masa sama, mereka boleh membuat pendaftaran Skim Air Darul Ehsan ketika acara berlangsung.

“Air Selangor turut akan membuat hebahan melalui pelbagai saluran dan di tempat awam lain seperti pusat membeli-belah dan masjid,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Program pemberian air percuma yang dilaksanakan Kerajaan Selangor sejak 1 Jun 2008 dijenamakan sebagai Skim Air Darul Ehsan, berkuat kuasa 1 Mac 2020.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, keputusan itu ekoran peningkatan jumlah penduduk setiap tahun yang memberi kesan besar kepada kedudukan kewangan negeri.

Skim Air Darul Ehsan akan menyasarkan kumpulan penduduk dengan pendapatan isi rumah RM4,000 dan ke bawah, bagi pengguna domestik yang mempunyai meter individu.

Manakala, bagi pengguna di pangsapuri kos rendah yang mempunyai meter pukal, syarat kelayakannya adalah sama, namun permohonan mereka perlulah mendapat pengesahan daripada JMB atau Perbadanan Pengurusan (MC).

Skim itu juga akan dapat menyasarkan golongan memerlukan selain menjamin perbelanjaan subsidi bersasar yang tepat.

Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui laman sesawang Sistem Smart lnisiatif Peduli Rakyat di www.ssipr.selangor.gov.my atau mengisi Borang Permohonan Program IPR Skim Air Darul Ehsan.


Pengarang :