EXCO SELANGOR

Tambah cuti bersalin galak kempen susu ibu

SHAH ALAM, 17 OKT: Cadangan Kerajaan untuk melaksanakan tambahan tempoh cuti bersalin daripada 60 hari ke 90 hari mulai 2021 akan menggalakkan kempen penyusuan susu ibu dalam kalangan wanita bekerjaya.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, tempoh itu dilihat membolehkan wanita yang bekerja lebih selesa untuk menyusukan anak yang baru lahir dalam tempoh agak lama berbanding dua bulan, seperti sebelum ini.

Katanya, sewajarnya pemberian susu ibu dilakukan dalam tempoh sekurang-kurangnya enam bulan iaitu semasa bayi sedang membesar.

“Anak itu adalah generasi masa hadapan kita, sudah tentu kerajaan melihat pentingnya penjagaan bayi ini melalui tempoh masa yang diberikan terhadap kaum ibu.

“Saya amat gembira kerana sudah lama kita perjuangkan dan akhirnya ia didengari oleh kerajaan hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Kerajaan Pakatan Harapan ketika Belanjawan 2020 untuk menambah tempoh cuti bersalin daripada 60 hari ke 90 hari mulai 2021.

Ketika pembentangan Belanjawan 2020 minggu lalu kerajaan memaklumkan akan meneliti semula Akta Kerja 1955 meliputi empat perkara termasuk tempoh cuti berkenaan.

Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran dalam satu kenyataan menegaskan majikan swasta yang enggan memberi cuti bersalin selama 90 hari kepada pekerja wanita bermula 2021 akan dikenakan tindakan.


Pengarang :