AGENDANASIONAL

Tanda harga merah jambu bagi barang kawalan Deepavali

KUANTAN, 16 OKT: Pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Deepavali tahun ini melibatkan 19 barang berbanding 16 pada tahun lepas, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, tiga barangan baharu yang dimasukkan di bawah skim itu ialah kobis bulat import Indonesia dan China tidak termasuk Beijing, kacang bendi dan cili kering dengan tempoh pelaksanaan skim itu adalah selama 14 hari bermula 20 Oktober hingga 2 November ini.

Barangan lain ialah ayam melibatkan ayam hidup, ayam standard dan ayam super, daging kambing tempatan bertulang, daging kambing import bertulang dan biri-biri import bertulang, telur ayam gred A, B dan C, tomato, kelapa biji dan kelapa parut, bawang merah kecil India, bawang besar import, ubi kentang import (China) dan kacang dhal (Australia).

“Penentuan harga maksimum dibuat antara lain berdasarkan pemantauan harga di seluruh negara dari 2018 hingga Oktober tahun ini, pandangan pelbagai agensi kerajaan berkaitan dan perbincangan dengan pengeluar, pengimport, pembekal dan pemborong barangan terlibat.

“Penentuan harga barangan bagi negeri terlibat pula dibuat mengikut kesesuaian harga pasaran dan faktor perubahan harga, khususnya barangan import yang dipengaruhi harga di negara asal dan kadar pertukaran mata wang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Penarafan Zon Perdagangan Terpilih (ZPT) Zon Timur 2019, di sini, hari ini.

Saifuddin juga mengingatkan peniaga untuk meletakkan tanda harga merah jambu pada barangan harga terkawal kerana kegagalan berbuat demikian menyebabkan mereka boleh didenda sehingga RM10,000 atau kompaun maksimum RM5,000 bagi individu manakala bagi syarikat, jumlah maksimum denda ialah RM20,000 atau kompaun RM10,000.

Manakala, kesalahan menjual barang melebihi harga kawalan membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya atau kompaun sehingga RM50,000 untuk individu.

“Kementerian juga akan meningkatkan keberadaan pegawai penguat kuasa di tempat terpilih yang menjadi tumpuan orang ramai melalui tindakan ‘Omnipresence’ bagi mewujudkan ruang persekitaran perniagaan selamat dan beretika,” katanya.

Beliau berkata, pemantauan juga melibatkan Pegawai Pemantau Harga, rakan KPDNHEP dan agensi kerajaan lain serta penglibatan penghulu dan penggawa selain daripada aduan orang ramai.

Pengguna boleh membuat aduan menerusi portal atau email di [email protected] atau talian 1800 88 6800, aplikasi telefon pintar Ez ADU atau talian Malaysia Government Call Centre (MYGCC) 03-8000 8000, katanya.

Pada majlis itu, Saifuddin berkata, sebanyak lapan premis perniagaan di Pantai Timur menerima pengiktirafan masing-masing iaitu tiga di Pahang dan Terengganu manakala dua di Kelantan.

Pengiktirafan itu menunjukkan premis perniagaan itu memenuhi kriteria ditetapkan KPDNHEP dengan menjalankan perniagaan secara beretika melalui kaedah kawalan kendiri, selaras dengan peraturan ditetapkan pihak kementerian.

– BERNAMA


Pengarang :