AGENSISELANGOR

Tarif air baharu akan diumum masa sesuai – MB

 

BATU CAVES, 15 OKT: Kadar tarif air yang baharu di negeri ini dijangka akan diumumkan pada masa yang sesuai.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ia diputuskan selepas berbincang dengan Kerajaan Persekutuan.

“Belum putuskan. Kalau ada kita umumkan, saya janji saya umum saya umum, bila tiba masanya.

“Kerajaan Persekutuan harus meneliti terlebih dahulu, kita fikir ada baiknya kalau dilaksanakan secara serentak.

“Namun, mengenai air ini ia bidang kuasa Kerajaan Negeri, oleh itu kita akan lihat kesesuaiannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran ‘Menjadi Wira Penjimat Air’ (Be A Water Conservation Warrior) Kempen Jimat Air, di Padang Awam, di sini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Suhaimi Kamaralzaman.

Pada Jun lalu, Kerajaan Negeri masih menunggu keputusan Kerajaan Persekutuan berhubung kadar tarif air di Selangor.

Kerajaan Negeri bagaimanapun akan memastikan kadar yang sesuai dikenakan sekiranya terdapat sebarang kenaikan.

Tarif air di Selangor ketika ini masih mengekalkan pada kadar RM1.39 semeter padu, iaitu harga pada 2006.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar mengesahkan enam negeri bersetuju menaikkan tarif air bagi menjamin kualiti perkhidmatan dan bekalan air kepada pengguna.

Dr Xavier berkata, rundingan menaikkan tarif air giat dijalankan kerana kadar berkenaan tidak pernah disemak dalam tempoh 20 tahun.


Pengarang :