AGENDASUKANKINI

Team Malaysia bawa cabaran FIA Motorsports Games di Itali

SHAH ALAM, 4 OKT: Persatuan Motorsports Malaysia (MAM) akan menghantar Team Malaysia untuk menyertai pertandingan FIA Motorsports Games di Rome, Itali dari 1 hingga 3 November hadapan.

MAM turut melantik bekas pelumba Formula 1 negara, Alex Yoong sebagai pengurus pasukan serta menampilkan tiga pelumba utama iaitu Adrian D’Silva, Weiron Tan dan Mior Muhammad Hafiz.

Alex Yoong berkata, beliau akan membimbing dan membuat persediaan rapi bagi memastikan Team Malaysia mendapat keputusan terbaik dalam edisi sulung kejohanan di Vallelunga Circuit.

Katanya, terima kasih diucapkan kepada MAM di atas pelantikan beliau sempena dengan kejohanan FIA Motorsports Games bulan hadapan.

“Ini adalah detik membanggakan serta peluang terbaik buat saya dan pelumba yang terpilih mewakili negara untuk membuktikan mereka dapat memberikan saingan kepada pelumba di peringkat antarabangsa kerana mungkin satu hari nanti sukan permotoran ini akan dipertandingkan di peringkat Sukan Olimpik.

“Saya yakin bahawa D’Silva dan Weiron akan beraksi dengan baik di GT Cup memandangkan mereka mempunyai pengalaman luas di dalam perlumbaan GT. Ini akan menjadi satu perlumbaan menarik untuk disaksikan dan saya tidak sabar menanti detik itu.

“Mior pula telah membuktikan yang dia sememangnya berada di dalam kelas tersendiri pada eRacing Grand Prix SEA bulan lalu. Saya yakin dia akan menjadi antara pencabar utama di Rome nanti,” katanya.

Adrian D’Silva dan Weiron Tan yang sarat dengan penglaman akan mengendali jentera Porsche GT3 oleh Earl Bamber Motorsport dalam kategori GT Cup sementara juara eRacing Grand Prix SEA baru-baru ini, Mior akan beraksi bagi kategori Digital Cup.

Kejohanan FIA Motorsports Games 2019 itu dianjurkan selepas kejayaan penganjuran GT Festival di Bahrain tahun lalu.

Enam kategori diperkenalkan pada edisi kali ini antaranya GT Cup, Touring Car Cup, Formula 4 Cup, Drifting Cup, Karting Slalom Cup dan Digital Cup sementara Team Malaysia akan bersaing di dalam dua kategori untuk edisi kali ini.

Pelumba dari 39 negara telah mengesahkan penyertaan untuk beraksi sekurang-kurangnya satu kategori dalam kejohanan menggunakan format seperti Sukan Olimpik menerusi kiraan pingat emas, perak dan gangsa.


Pengarang :