Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia Datuk Hamidin Mohd Amin. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Teliti kedudukan kewangan sebelum ikat kontrak pemain baharu

SHAH ALAM, 23 OKT: Semua pasukan Liga Malaysia dinasihatkan mengkaji struktur kewangan masing-masing terlebih dahulu sebelum berhasrat menandatangani kontrak pemain baharu selaras pelaksanaan Program Kawalan Ekonomi (ECP).

Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pelaksanaan ECP mampu mendidik pasukan Liga Malaysia berbelanja lebih berhemah dan ia bakal diperkenalkan secara berperingkat sebelum pelaksanaan menyeluruh serta lebih ketat pada musim 2021.

Beliau berkata, pihaknya serius dalam membantu pasukan menguruskan kewangan dengan lebih baik supaya masalah hutang yang sebelum ini membelenggu kebanyakan pasukan dapat diatasi bersama.

“Jadi saya mengingatkan kepada semua pasukan supaya meneliti terlebih dahulu struktur kewangan pasukan sebelum menandatangani kontrak dengan mana-mana pemain dalam perancangan membentuk pasukan bagi musim depan.

“Ini kerana kontrak ditandatangani hari ini bakal membawa kesan kepada pasukan dalam mematuhi ECP pada tahun-tahun akan datang.

“Jadi saya menasihatkan semua pasukan untuk berhubung dengan MFL jika ada sebarang pertanyaan mengenai ECP selain taklimat yang akan diberikan nanti.

“MFL akan bertegas dalam perlaksanaan ini yang sudah dirancang sejak sekian lama untuk dijadikan asas kepada kestabilan masa depan bola sepak Malaysia seiring dengan perlaksanaan program Next50 MFL,” katanya dalam kenyataan.

Hamidin berkata, ECP yang dilihat bakal menjadi formula terbaik dalam usaha menangani masalah bebanan hutang khususnya tunggakan pembayaran gaji pemain, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Semua pasukan akan diberikan penerangan oleh wakil perunding ECP, PricewaterhouseCoopers Risk Services Sdn. Bhd, LaLiga dan MFL dalam satu taklimat pada November ini.

Sebahagian daripada pasukan iaitu Negeri Sembilan, Pahang, Kelantan, Petaling Jaya City FC (PJ City FC) dan Johor Darul Ta’zim (JDT) telah bertemu dengan MFL bagi memberikan pandangan serta maklumbalas berkenaan dengan ECP.

Untuk rekod, ECP dilaksanakan LaLiga telah berjaya menghapuskan bebanan hutang pasukan bertanding sebanyak €90 juta (RM422.87 juta) pada 2012 serta menjadi sifar pada 2017.


Pengarang :