AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Teliti program hantar pelajar ke universiti terkemuka dunia

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Kerajaan Negeri sedang meneliti beberapa program untuk ditambah baik tahun depan, bagi membantu pelajar cemerlang di Selangor melanjutkan pengajian ke universiti terkemuka dunia.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, inisiatif itu bertujuan membantu pelajar yang berkelayakan, namun tidak mampu melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi.

Beliau berkata, antara universiti itu adalah Harvard, Oxford dan Cambridge.

“Mereka memerlukan sokongan daripada Kerajaan Negeri termasuk dana dan pembiayaan ketika di sana.

“Bagaimanapun, program itu seharusnya mula diterap daripada peringkat menengah bahawa mereka diberi pendidikan untuk memasuki universiti terkemuka dunia dengan bantuan dan sokongan daripada Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Amal Sambutan Jubli Perak Ulang Tahun ke-25 SMK Sungai Kertas di Dewan Besar Tun Rahah, Menara Yayasan Tun Razak, di sini malam tadi.

Pada masa sama, Amirudin berkata, bidang pendidikan begitu mencabar apabila wujudnya ‘akal-akal bijak’ pergi ke luar negara tetapi tidak mahu pulang kerana mendapat tawaran lebih tinggi di sana.

“Oleh itu, kita sebagai Kerajaan Negeri perlu bantu golongan ini mendapat pendidikan tinggi, sekali gus beri mereka terlibat dalam kerajaan, anak syarikat atau agensi swasta yang akhirnya turut membantu negara ke arah pembangunan,” katanya.


Pengarang :