AGENDAJENAYAH

Tembak mati perompak: Ramasamy dijangka ke Bukit Aman hari ini

KUALA LUMPUR, 20 OKT: Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy akan dipanggil ke Bukit Aman hari ini untuk memberi keterangan berhubung satu laporan polis yang dibuat terhadapnya berkaitan satu artikel disiarkan sebuah portal berita, bulan lepas.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Polis, Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan.

Beliau berkata, Ramasamy dijangka hadir ke Bukit Aman pada jam 10 pagi hari ini untuk memberi keterangan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas D5 berhubung perkara itu.

Bernama pada 17 Oktober lepas melaporkan, Ramasamy diminta untuk memberi keterangan berhubung artikel bertajuk “Kerajaan Baharu tapi Polis Masih Pada Takuk Lama – Ramasamy” yang disiarkan di laman web www.malaysiagazette.com pada 17 September lalu.

Dalam artikel itu, Ramasamy telah mengulas tindakan polis menembak mati tiga lelaki yang disyaki perompak di Kilometer 22, Jalan Rawang menghala Batu Arang, Selangor, 14 September lepas.

– BERNAMA


Pengarang :