Tengku Permaisuri Norashikin meneliti kandungan buku selepas berkenan melancarkan Buku Panduan Penjaga Pesakit Kanser serta Buku Memahami Kanser : Panduan Untuk Pesakit dan Wakaf KanWork dalam Majlis Sumbangan Amal dan minum petang KanWork berlangsung di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Tengku Permaisuri Selangor berkenan lancar buku kanser

SERDANG, 20 OKT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyempurnakan pelancaran dua buku bertajuk Panduan Untuk Penjaga Pesakit Kanser dan Memahami Kanser: Panduan Untuk Pesakit.

Baginda yang juga Penaung Diraja Persatuan Kanser Network Selangor dan Wilayah Persekutuan (KanWork) melancarkan buku itu sempena majlis KanWork Charity Hi-Tea di Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini hari ini.

Baginda turut berkenan melancarkan Wakaf KanWork, iaitu satu usaha penjanaan berlandaskan konsep wakaf melalui sumbangan dana berbentuk wang tunai dan harta.

Pengerusi Persatuan KanWork, Dr Mazanah Muhamad dalam sembah ucapan berkata, KanWork adalah pertubuhan badan bukan kerajaan berdaftar yang giat memberi sokongan emosi dan rohaniah kepada pesakit melalui aktiviti kumpulan sokongan, lawatan ke hospital serta rumah.

Katanya, KanWork Charity Hi-Tea pula dianjurkan dengan kerjasama UPM, War on Cancer dan Persatuan Alumni UPM bertujuan mengumpul dana bagi membiayai aktiviti yang dapat membantu pesakit dan ‘survivor’ serta individu terkesan kanser.

Tengku Permaisuri Selangor berangkat melawat ruang pameran yang disediakan sempena Majlis Sumbangan Amal dan minum petang KanWork berlangsung di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Alhamdulillah, melalui majlis ini kita berjaya mengumpul dana sejumlah RM49,001 dari pelbagai agensi antaranya Usaha Jana Sdn Bhd Pharmaniaga Berhad, College of Physician, Academy of Medicine of Malaysia, Zharish Resources, International Women Heritage Vision Malaysia dan Aeon Co (M) Bhd.

“Manakala, hari ini juga kita berjaya mengumpulkan kira-kira 700 orang yang hadir daripada pelbagai organisasi, institusi dan tidak kurang juga penghidap kanser, terima kasih di atas sokongan anda,” katanya.

KanWork ditubuhkan pada 2005 bagi membantu mereka yang didiagnos dan terbabit dengan kanser selain turut melaksanakan pelbagai program pendidikan serta kesedaran kepada komuniti untuk pencegahan kanser.

Terdahulu, pada majlis sama, keberangkatan baginda disambut Naib Canselor UPM merangkap Penasihat KanWork, Prof Datin Paduka Dato’ Dr Aini Ideris.

Turut mengiringi baginda, Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor yang juga isteri Dato’ Menteri Besar, Masdiana Muhamad.


Pengarang :