Orang awam melarikan diri dengan barang mereka di tengah pengeboman Turki di bandar timur laut Syria Ras al-Ain di provinsi Hasakeh di sepanjang sempadan Turki pada 9 Oktober 2019. Foto AFP
AGENDA GLOBAL

Tentera Turki mara ke utara Syria

ANKARA, 10 OKT: Tentera Turki kini mara ke utara Syria dengan melancarkan serangan darat sebagai sebahagian Operasi Peace Spring, lapor agensi berita Anadolu memetik Kementerian Pertahanan pada Khamis.

“Anggota komando kami yang mengambil bahagian dalam operasi itu kini mara (ke rantau ini) di timur Sungai Euphrates di utara Syria,” kata kementerian menerusi ciapannya.

Turki melancarkan operasi itu pada Rabu untuk memastikan keselamatan di sempadan dengan menghapuskan pengganas, selain memastikan integriti wilayah Syria dan pelarian dapat kembali ke negara asal mereka.

Menurut Turki Parti Pekerja Kurdistan (PKK) dan Unit Perlindungan Rakyat (YPG) adalah ancaman terbesar terhadap masa depan Syria, yang menjejaskan integriti wilayah dan struktur kesatuan negara.

Negara Turki mempunyai sempadan sepanjang 911 kilometer dengan Syria, sekian lama diancam aktiviti pengganas di timur Euphrates yang membentuk “koridor pengganas” di kawasan itu.

Turki merancang menempatkan dua juta orang Syria di Zon Keselamatan seluas 30 kilometer yang akan diwujudkan di Syria, bermula dari Sungai Euphrates ke sempadan Iraq, termasuk Manbij.

Bagaimanapun, kehadiran kumpulan pengganas seperti PKK, Parti Kesatuan Demokratik (PYD) dan YPG menghalang rancangan itu.

Turki telah membebaskan kawasan seluas 4,000 kilometer persegi di Syria daripada cengkaman kumpulan pengganas dalam dua operasi rentas sempadan berasingan sejak 2016 iaitu Operasi Euphrates Shield and Operasi Olive Branch.

Kedua-dua operasi itu selaras dengan hak negara untuk membela diri di bawah undang-undang antarabangsa.

Semasa Operasi Euphrates Shield, pasukan Turki sudah meneutralkan 3,060 pengganas Daesh.

Sejak 2016, operasi Perisai Euphrates dan Olive Branch di barat laut Syria berjaya membebaskan wilayah itu daripada cengkaman keganasan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) dan Unit Perlindungan Rakyat (YPG) serta Daesh, membolehkan 400,000 rakyat Syria yang melarikan diri dapat pulang semula ke rumah mereka.

Dalam kempen keganasan lebih 30 tahun terhadap Turki, PKK – disenaraikan sebagai organisasi pengganas oleh Turki, AS dan Kesatuan Eropah – bertanggungjawab menyebabkan kematian 40,000 orang termasuk wanita, kanak-kanak dan bayi.

YPG pula di bawah organisasi PKK, cawangan Syria.

-BERNAMA


Pengarang :