AGENDANASIONAL

Tiada IC diberi kepada warga asing di Terminal Bas Kukup – JPN

PUTRAJAYA, 31 OKT: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini menegaskan bahawa tiada kad pengenalan diberikan kepada warga asing seperti yang ditularkan pada Program Hari Bertemu Pelanggan JPN Negeri Johor di Terminal Bas Kukup pada 29 Oktober lepas.

Menyifatkan penularan gambar dan video melalui akaun Facebook ‘Ops Johor’ berniat jahat untuk memburukkan imej kerajaan, JPN dalam kenyataan menjelaskan ia adalah program rutin yang dianjurkan oleh JPN negeri bagi memberikan khidmat nasihat berkaitan hal-hal pendaftaran kepada masyarakat setempat.

Menurut JPN, urusan yang dijalankan semasa program itu melibatkan permohonan MyKad kali pertama dan gantian, cabutan sijil kelahiran dan kematian serta khidmat nasihat mengenai isu kewarganegaraan.

“Tiada perkhidmatan pemberian kad pengenalan percuma seperti didakwa semasa program itu,” menurut JPN.

Program itu juga memberi peluang kepada penduduk kawasan untuk berurusan tanpa perlu hadir ke pejabat JPN, jelas JPN.

Menurut JPN, proses permohonan MyPR (merah) kepada MyKad (biru) hanya boleh dibuat di pejabat-pejabat JPN di mana pemohon perlu memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, dan pertimbangan bagi permohonan itu pula akan dibawa ke peringkat Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk kelulusan.

“Orang ramai digesa agar menghentikan penyebaran maklumat yang tidak benar bagi mengelakkan kekeliruan dan kebimbangan awam,” menurut JPN, serta menambah tindakan undang-undang akan diambil terhadap penyebar maklumat palsu.

-BERNAMA


Pengarang :