Lim Guan Eng pada sidang media di Parlimen pada 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tiada jangka masa ambil alih lebuh raya daripada Gamuda

KUALA LUMPUR, 30 OKT: Kerajaan tidak menetapkan sebarang jangka masa untuk mengambil alih empat lebuh raya daripada Gamuda Bhd, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, pengumuman mengenai perkara tersebut hanya akan dibuat apabila semua matlamat pengambilalihan itu dicapai.

Katanya, syarat pertama ialah ia tidak akan mengenakan negara apa-apa beban hutang tambahan dan bayaran khidmat hutang.

“Kedua ialah penjimatan untuk kerajaan dengan tidak perlu membayar pampasan dan ketiga, penjimatan kepada rakyat melalui kadar tol yang dikurangkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis makan tengah hari Anugerah Persatuan Hubungan Pelabur Malaysia (MIRA) 2018/2019 di sini, hari ini.

Dalam pembentangan Belanjawan 2020, Lim berkata, Kabinet telah meluluskan cadangan pengambilalihan empat lebuh raya di Lembah Klang – Lebuh Raya Shah Alam (Kesas), Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP), Lebuh Raya Sprint (Sprint) dan Terowong SMART (Smart).

Kerajaan akan membayar RM6.2 bilion untuk mengambil alih empat lebuh raya itu.

Menteri itu juga berkata, keperluan adalah sama untuk pengambilalihan lebuh raya PLUS – bahawa matlamat perlu direalisasikan terlebih dahulu.

Mengenai berita berhubung tawaran daripada Goldman Sachs untuk membayar hanya sebahagian kecil daripada tuntutan awal Malaysia bagi peranannya dalam kemelut 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Lim berkata, kerajaan tidak menerima sebarang tawaran daripada bank pelaburan itu.

Beliau berkata, kerajaan masih mengekalkan tuntutan sebanyak AS$7.5 bilion.

“Saya tidak tahu dari mana datangnya AS$2 hingga AS$3 bilion, kerana kami tidak menerima tawaran daripada Goldman Sachs.

“Sudah tentu Peguam Negara (AG), Tan Sri Tommy Thomas akan lebih tahu, tetapi setakat ini, tiada tawaran yang kukuh.

“Setakat arahan oleh AG, ia masih sebanyak AS$7.5 bilion,” katanya.

Dilaporkan baru-baru ini bahawa perunding Malaysia mempertimbangkan penyelesaian untuk sebahagian kecil daripada jumlah tersebut.

– BERNAMA


Pengarang :