BUDAYARENCANA

Tiada Lagi ‘Mampus Kau Dikoyak-koyak Sepi’

Oleh Nik Aidil Mehamad

Kejutan yang aneh lahir dari setiap keinginan Aira yang aneh. Aira akan mengajakku ke kedai kopi menonton perlawanan bola sepak Liga Inggeris apabila ayam-ayam betina berkokok kerana rasa ngerinya kepada musang liar yang berkeliaran dalam pekat malam. Cengkerik melagukan melodi yang juga aneh apabila didengari dengan kesunyian yang sarat dalam dada kami. Novel erotis pun tidak dapat menghalau kesunyian ini.

Aira menunggang skuter denganku dalam kelam malam, memilih jalan yang paling sunyi. Kami mengamati kelip-kelip yang berterbangan di belukar sepanjang jalan. Berhenti di kedai kopi yang tidak pernah dikunjungi sebelum ini. Carutan-carutan Aira kedengaran romantis apabila pipi kami dicium udara berembun. Carutan yang terpancul dari mulut Aira entah kepada siapa.

Dia kelihatan tegang sejak pulang dengan rambut mirip John Lennon di pekan tua yang ditinggalkannya berbelas tahun. Aku senang dengan Aira kerana dia tidak lagi menghisap ganja. Aira tidak lagi menyukai ganja seperti juga Aira tidak lagi menyukai Dian. Gadis yang punya karisma memukau dan Aira jatuh ke dalam kehinaan diri sendiri selepas itu. Kehinaan yang tidak jelas lahir kerana apa dan ianya hidup dan membiak dalam tubuh dan merebak ke minda Aira.Tubuhnya kering seperti mayat hidup. Garis halus di hujung matanya kerana ketagihan nikotin yang melampau.

“Bau-bau hutan merahmati kita” kata Aira pada malam kami pulang dari kedai kopi. Udara seperti telapak tangan ibu yang melekat di pipi kami berdua.

Kami adalah dua pasang mata yang tersorok. Mengamati orang-orang tua tanpa mereka pedulikan kami- tidak diraikan dengan senyuman, juga kata-kata yang baik. Dipinggirkan bukanlah sesuatu yang menyedihkan, kata Aira. Kata-kata Aira cukup untuk didengari sekali sahaja tanpa pengulangan. Kata-kata yang tidak diminta penjelasan yang lebih.

Aira kelihatan seperti belukar di seberang jalan kedai kopi. Kelam dan dingin. Barangkali Aira sedar yang menjadi lucu itu bukanlah sesuatu yang saja-saja diciptakan. Aku cuba menjadi selucu yang mampu untuk mengubah cuaca mendung dalam dirinya. Juga rambutnya yang kupotong beberapa hari lepas walaupun kehendak Aira sendiri.

Perasaan aneh selalu muncul apabila kami masuk ke dalam kedai kopi yang dipenuhi orang-orang tua yang berjaga pada waktu malam. “Percayalah”, kata seorang lelaki tua yang duduk di sebelah meja kami. Matanya tertancap pada perlawanan bola sepak di televisyen, “waktu tidur kau akan berkurangan apabila berumur semacam aku.”

“Aira puas hati dengan rambut yang kau potong?” tanya pemandu teksi kepadaku malam ini.

Ia semacam kelahiran baru untuk Aira atau dia sendiri tidak percaya dengan kelahiran baru. Tahun demi tahun, ada sesuatu yang tumbuh dalam dirinya. Tumor sebesar biji saga pada mulanya membengkak di leher Aira. Dian memaut leher Aira di lorong kumuh pada malam yang ingin dilupakan Aira. Jari-jemari runcing Dian merayap pada leher Aira dan kaku pada tumor Aira yang sudah membesar seperti telur ayam.

Tumor itu seperti Aira dan Dian pada waktu itu. Pendatang baru yang berhijrah ke kota dan berjanji untuk mengubah hidup. Migrasi yang dibenci segelintir orang, tetapi tidak kepada mereka berdua.

“Tiada lagi mampus kau dikoyak-koyak sepi” kata Aira, juga pada malam kami membelah kesunyian dengan deruman enjin skuter selepas kumpulan bola sepak kegemarannya tewas.

Aira tidak peduli cacian orang-orang tua,tentunya kepada kumpulan kegemarannya. Orang tua yang beremosi kepada televisyen dan ianya lucu dan Aira juga selucu itu pagi kelmarin. Habis digeledah almari baju. Seekor ibu kucing baru lepas beranak keluar dari almari baju dengan muka lesu. Meja solek yang berhabuk juga digeledah Aira.

Kotak kayu yang dipenuhi kertas dibuka dan bertempiaran anak-anak lipas menyelamatkan diri- menyelusup masuk ke celah-celah papan kayu rumah seperti anak- anak muda di pekan tua ini bertempiaran lari apabila mata mereka disilaukan dengan siren lampu polis. Aira mengeluarkan gunting dari kotak kayu dan sikat yang sudah rongak. Gigi sikat barangkali digigit anak-anak lipas.

Di hadapan cermin yang setinggi dirinya, Aira duduk tidak berbaju, rambutnya keperangan yang tidak sihat. Hujung rambut banyak yang sudah bercabang. Dia merenungi cermin dengan pandangan damai dan kepercayaannya penuh kepada diriku untuk memotong rambutnya. Aira mengulang-ulang kata-kata ini kepada aku, “Potonglah sesuka hati kau, aku mahu pejamkan mata mendengar racik gunting.”

Rambutnya yang mirip John Lennon aku selak dengan sikat, beralun mencium bahu. Kilatan rambutnya tidak sama pada waktu aku melihat ke dalam anak matanya yang bercahaya dulu, ada keriangan yang menghuni dalam anak matanya, kejernihan mata Aira memerhati dunia luar dengan optimis.

Seingat aku, aku tidak pernah melihat Aira berambut pendek ketika kami remaja bersama. Jadi ia seperti kepercayaan Aira untuk melahirkan dirinya yang baru dengan rambut yang baru, setelah sebulan dia kembali di pekan tua.

“Aira seperti kembali kepada rahim ibu” kata aku kepada pemandu teksi yang dari tadi mendengar ceritaku. Teksi kuning menghantar aku ke sebuah pekan lain malam ini meninggalkan Aira di pekan tua. “Tengkujuh mahu datang” kata pemandu teksi. Tulang-temulangku beku dan aku terlena masuk ke dalam mimpi ketika teksi kuning masih lagi memanduku ke destinasi baru. Dalam mimpi itu aku mendengar racikan gunting memotong rambut yang beralun seperti ombak pantai, pipiku ngilu.


Pengarang :