Kerja tanah yang dijalankan pemaju di tiga lot sehingga mengakibatkan kelodak tanah memenuhi sistem perparitan dan jalan. Foto ihsan Facebook Edry Faizal
ADNSELANGOR

Tiada permit, pemaju tanah kena Perintah Berhenti Kerja

HULU LANGAT, 16 OKT: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mengeluarkan Perintah Berhenti Kerja terhadap satu projek kerja tanah yang sedang dalam pelaksanaan berhampiran Taman Wawasan dan Sekolah Tun Abdul Aziz Majid, di sini pada 10 Oktober lalu.

Perkara itu dimaklumkan Ahli Dewan Negeri Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof melalui perkongsian di laman sosial Facebook, pada 14 Oktober lalu.

Beliau berkata, pemaju projek berkenaan dikenakan Notis Kompaun Akta Jalan Parit 1974 Seksyen 70A (1) selepas dipercayai mengakibatkan kelodak tanah memenuhi sistem perparitan dan jalan ketika menjalankan kerja tanah terbabit.

Katanya, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terbabit turut mengenakan denda RM25,000 terhadap pemaju ekoran kerja tanah dijalankan di tapak tanpa kelulusan dan permit.

“Aduan diterima berkenaan satu pemajuan di kawasan berkenaan dan pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) turun melihat serta meminta PBT menyiasat.

“Mengikut laporan, terdapat kerja tanah yang sedang berjalan di tiga lot iaitu Lot 1432, Lot 1102 dan Lot 1431 oleh Maju Serijuta Sdn Bhd,” katanya.

Selain memberhentikan kerja di tapak serta merta sehingga memperolehi kelulusan Pelan Infrastruktur, Edry berkata, pemaju diarah membina ‘slip trap’ bagi menahan kelodak daripada memasuki sistem perparitan.

“Pemilik tanah baik individu atau pemaju diingatkan sekali lagi bahawa pentingnya mendapatkan kelulusan pihak berkuasa sebelum sebarang pemajuan dilakukan ke atas tanah.

“Pejabat DUN akan mendapatkan kemas kini tindakan susulan MPKj dari semasa ke semasa,” katanya.


Pengarang :