Amirudin Shari bersama Exco Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V. Ganabatirau bergambar dalam Program Ramah Mesra Bersama Penerima Bantuan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Negeri Selangor Fasa 1 Tahun 2019 di Dewan Jubli Perak SUK, Shah Alam. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tidak dipinggirkan, 95 sekolah Tamil terima bantuan

SHAH ALAM, 9 OKT: Sejumlah RM4.4 juta bantuan persekolahan Fasa 1 2019 diagihkan kepada 95 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, bantuan itu bagi meningkatkan kualiti dan keadaan pendidikan negara, khususnya di negeri ini.

“Kerajaan Negeri tidak mahu melihat ada generasi muda tertinggal dalam sistem pembangunan negara walaupun terdapat kriteria kaum dalam beberapa aspek seperti faktor ekonomi dan strata sosial.

“Pendidikan adalah medium utama untuk mengubah nasib serta menentukan hala tuju masyarakat pada masa hadapan.

“Kita berdepan pelbagai masalah dan setiap kelompok berdepan isu tertentu. Saya berharap isu yang melingkari msyarakat India dapat ditangani melalui pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Ramah Mesra Bersama Penerima Bantuan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Negeri Selangor Fasa 1 2019 di Banquet Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, di sini.

Untuk tahun ini, Kerajaan Selangor memperuntukkan RM5 juta bagi menyelenggara 97 buah SJKT di seluruh negeri seperti diumum dalam belanjawan lalu.

Setakat ini, sejumlah RM19.21 juta daripada RM24 juta yang diperuntukkan sudah disampaikan kepada 665 buah sekolah dalam Program Agihan Bantuan Sekolah Fasa 1 2019.

Baki sumbangan pada Fasa 2 dijangka selesai diagihkan selwat-lewatnya penghujung tahun ini.


Pengarang :