Sujana Rejab menunjukkan tangan robotik yang dihasilkan bagi membantu orang kelainan upaya. Foto Facebook Sujana Rejab
AGENDANASIONAL

Tiga mangsa kemalangan dapat tangan robotik

KUALA LUMPUR, 14 OKT: Ciptaan tangan elektronik cetakan 3D oleh pereka tangan robotik popular, Sujana Rejab memberi sinar harapan baharu kepada tiga mangsa kemalangan jalan raya yang hilang lengan beberapa tahun lalu.

Sujana yang telah menghasilkan lebih 50 anggota badan palsu manual untuk kanak-kanak yang memerlukan, mencipta tangan elektronik cetakan 3D itu melalui mesin percetakan 3D dan perisian Reka Bentuk Bantuan Computer (CAD) miliknya di Perak.

MISG Insurance (M) Bhd yang merupakan penaja bagi projek itu dalam kenyataan hari ini berkata, tiga penerima bertuah itu ialah Mohamad Safian Abdullah, 27, dari Johor; Mukhtar Mahmud, 63; dan Muhammad Ridzuan Aniq Rozlan, 27, masing-masing dari Negeri Sembilan.

Pemilihan mereka dibuat sendiri oleh Sujana.

Menurut MISG, proses mereka cipta tangan elektronik 3D memakan masa dan memerlukan Sujana bertemu dengan mangsa untuk mengambil ukuran secara terperinci yang kemudian dimasukkan ke dalam komputer sebelum proses pengeluaran bahagian-bahagian menggunakan pencetak 3D.

“Proses ini boleh mengambil masa selama beberapa bulan, lebih-lebih lagi kerana perlu bertemu penerima yang berasal dari berlainan tempat secara bersemuka,” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA


Pengarang :